Rasa betul-betul tidak seronok. Rasa mahu sambung bercuti
dan duduk-duduk di tepi pantai Cenang sambil melihat ombak dan pergi. Rasa
rindu akan pulau bertuah itu. Rindu akan hembusan anginnya, rindu akan
kedamaiannya. Semua aku rindu dan rasanya aku lebih rindukan dia. Kenapa harus
dia? Kenapa mesti Megat Zafril?
“Hmm,
kenapa menung ni?” Sampai-sampai Linda terus tanya. Aku pandang muka Linda
dengan perasaan pelbagai. Selalunya mahu juga aku puji baju dia cantik tapi
hari ni tak ada hati langsung hendak memuji.
“Orang
lain balik bercuti, muka berseri-seri, kau pulak macam muka orang tak ada hati
dan perasaan. Kenapa? Duit banyak habis?” Linda gelak sekali. Dia duduk di
tempatnya kemudian keluarkan bedak. Ditempek ke muka beberapa kali sebelum dia
tambah gincu. Walau tanpa semua tu, Linda tetap cantik, tetap ayu.
“Lin, aku
dah buat silap ke dengan percutian ni?” soalku tiba-tiba. Sungguh, perasaan
sangat tidak sedap ketika ini.
“Apa
maksud kau?”
“Megat
Zafril.”
“Kenapa
dengan Megat Zafril?”
“Aku macam
sukakan dia.” Tidak teragak aku luahkan perasaan kerana itulah yang aku rasa
sejak akhir-akhir ini. Aku boleh berbohong tentang apa saja, tetapi aku tidak
boleh berbohong tentang perasaanku sendiri. Sangat menyakitkan bila berbohong
dengan perasaan sendiri.
Linda
gelak. Kuat dia gelak, macamlah nama Megat Zafril itu salah seorang nama pelawak.
Geram aku jadinya. Tidak memahami langsung. “Kenapa kau rasa macam tu sedangkan
kau bagitahu aku, dia seorang yang begitu membosankan?” soal Linda sebaik
sahaja gelaknya reda. Tahulah aku, Linda memang betul-betul gelakkan aku.
“Dia tidak
seperti Luqman. Jauh sangat.”
“Hmm,
kenal hati budi dia dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru. Aku tak nak
pisang berbuah dua kali. Kali ni kalau kau terluka, tentu lebih sakit.”
Aku
angguk. Tanda setuju. Aku tidak mahu terluka lagi. Tidak sama sekali membiarkan
hatiku terluka oleh lelaki sekali lagi tetapi aku berhak untuk mencuba semula.
Mana tahu kali ini akan memberikan aku kebahagiaan yang aku impikan selama ini.
“Bagaimana
orangnya sampai kau boleh terbuka hati? Sedangkan aku tahu, kau bukan jenis
yang mudah jatuh cinta. Luqman dulu pun, ayat bagai nak rak baru kau terima.”
“Dia
seorang yang sederhana. Nampak tenang. Langsung tidak bersikap memaksa. Mulanya
aku membayangkan Megat Zafril tu sombong, ego. Tapi tak sangka dia sangat
menyenangkan. Tak sombong langsung. Rasa macam selamat kalau di samping dia.
Solat pun dia tak tinggal. Itu yang penting.” Terbayang semula tingkah Megat
Zafril yang cukup sederhana, bersahaja dan sesekali pandai juga buat jenaka.
Sangat menyenangkan.
“Hmm,
seperti menarik saja bunyinya. Habis ada rancangan nak jumpa lagi?”
“Hisy,
merepek kau ni. Tak kan aku nak ajak dia keluar.” Aku gelak. Sudah terikut cara
Megat Zafril bercakap.
“Manalah
tahu. Kan benda bagus selalunya susah nak dapat.”
“Tapi tak
kanlah sampai nak menjatuhkan maruah pulak.”
Kami
sambung buat kerja. Tinggalkan sekejap pasal Megat Zafril. Senang-senang nanti
aku boleh sambung ingat dia. Buat sementara tak nak fikir apa-apa.
“Seorang
tolong pergi bahagian production. Ada masalah sikit dengan kiraan di sana,”
arah Encik Sufian.
“Nanti
saya pergi.” Linda menawarkan diri tapi aku tahu Linda lebih kepada mahu membantuku.
Dia tahu kalau aku ke bahagian production, aku akan bertembung dengan Luqman. Kalau
bertembung dengan Luqman, hati aku sakit semula.
“Awak
tolong saya buat ni, biar Nea pergi production.”
“Tadi
encik tanya siapa nak pergi, sekarang cakap macam tu pulak. Kalau macam tu tak
payahlah tanya.” Linda menjawab seperti biasa. Pantang silap sikit, bukan dia
kira siapa.
Encik
Sufian tidak menjawab sebaliknya hanya letak fail berwarna biru atas meja
Linda. Takut dengan Linda agaknya. Bermakna mahu atau tidak, aku terpaksa ke
bahagian production. Mahu atau tidak aku akan berhadapan juga dengan Luqman.
Lebih menyakitkan aku akan berhadapan dengan Hanani.
Ah! Rasa
nak balik rumah saja. Rasa mahu saja telefon Megat Zafril, masuk ajelah
meminang. Lepas tu aku tak perlu lagi bekerja. Duduk rumah jadi suri rumah
sepenuh masa. Habis cerita.
“Pergi
sekarang,” arah Encik Sufian bila aku masih tidak bergerak lagi.
Dengan
perasaan berat, aku atur langkah. Dalam kepala sudah fikir macam-macam. Entah
apalah alasan untuk aku membalas sindiran-sindiran Hanani nanti. Tunangan Luqman
itu memang terkenal dengan cakap lepasnya.
Semakin
berat bila bahagian production semakin hampir. Mula sekali aku pandang meja
Luqman. Kosong. Harap dia ada mesyauarat dengan Head Officer Department. Namun
ternampak Hanani sedang berdiri berhampiran almari.
“Hah
kenapa naik sini pulak?” soal Hanani dengan wajah kurang senangnya.
“Encik
Sufian suruh tolong kira kat sini.”
“Kau saja
nak cari peluang datang production sebab kau nak jumpa Luqman bukan?” Nampak
Hanani seperti gagal mengawal perasaannya.
“Kau nak
aku turun balik dan beritahu Encik Sufian yang kau halau aku sebab takut aku
kacau tunang kau? Begitu?” Aku tentang wajah Hanani dengan berani. Peduli apa
aku.
“Cakap
ajelah kau masih sayangkan Luqman.”
“Kau ingat
aku ada hati lagi dengan lelaki bangsat macam tu?” Hilang sudah kesabaranku.
Aku sudah ingatkan, jangan mencari pasal dengan mengungkit benda yang lepas.
Sakit hati nanti. Tapi Hanani degil juga. Setiap kali jumpa, itulah modal yang
dia ungkit.
“Kalau kau
takut sangat, simpan dia tu dalam kain kau. Habis cerita. Aku sebenarnya sikit
tak hairan dengan tunang kau tu.”
“Mulut kau
jaga sikit. Jangan kurang ajar sangat.”
“Siapa
yang mulakan dulu? Aku atau pun kau. Aku datang atas arahan Encik Sufian. Kalau
kau tak puas hati, kau boleh jumpa Encik Sufian sendiri. Aku tak ada masalah.
Tak datang sini aku lagi suka. Tak payahlah aku tengok muka-muka bangsat kat
sini!” Suaraku makin lantang sehingga menarik beberapa kaki tangan lain. Aku
jeling semuanya dengan pandangan tajam sehingga masing-masing sambung kerja.
“Kenapa
bising-bising ni?” Luqman muncul tiba-tiba. Aku pandang wajah Luqman dengan
perasaan membara.
“Tanya
sendiri kat tunang kesayangan awak tu,’ marahku.
“Baby
kenapa ni?” soal Luqman kepada Hanani. Baby? Aku sanggup makan rumput daripada
tunang aku nanti panggil aku baby. Rasa nak muntah kejap ini juga.
“Tak
tahulah. Dia ni datang marah-marah. Senang-senang panggil ayang bangsat.”
Hanani menurun dengan sawan gediknya. Karang bukan dia saja yang aku lempang,
dengan ayang dia sekali melayang.
“Saya
datang sini atas arahan Encik Sufian disebabkan bahagian sini bangang sangat
tak reti-reti nak buat kira. Tapi kedatangan saya disambut dengan maki hamun
yang menyatakan saya ni saja gatal datang sini untuk mengorat tunang orang. Jadi
betullah kat atas ni ada yang jadi bangsat!” Aku jeling Hanani dengan pandangan
tajam.
“Nea,
jangan melampau sangat,” suara Luqman sedikit perlahan.
“Saya
tidak melampau.Saya ikut keadaan. Kalau orang melampau dengan saya, saya nak
diamkan saja ke?”
“Okey, okey.
Awak boleh sambung kerja awak. Baby sambung kerja baby.” Seperti biasa Luqman
jalankan misi pengamannya. Memang amanlah. Si ‘baby’ hentak kaki tinggalkan
kami dengan jelingan tajam.
“Kalau
boleh janganlah datang sini selalu.” Luqman bersuara perlahan. Jelas dan nampak
betapa pengecutnya Luqman.
“Saya pun
tak teringin nak datang sini. Kalau tak Encik Sufian yang suruh, tak ingin saya
jejakkan kaki ke bahagian ni. Dan kalau bahagian sini tak bangang sangat, tak
buat salah, saya rasa, tak perlu saya datang tolong. Kenapa masing-masing masih
tak tahu buat kerja? Cakap masing-masing pandai. Tapi bila buat kerja semuanya
tak boleh diharap.” Aku sambung berleter sambil mengambil tempat. Luqman letak
beberapa fail yang perlu aku buat pemeriksaan. Kemudian dia sendiri duduk di
hadapanku. Tanpa memperdulikan diri Luqman, aku sambung buat kerja. Mencari
punca kenapa lebihan pengeluaran tidak sama dengan jumlah jualan. Kilang biskut
yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera itu, kerap benar berlaku lebihan
pengeluaran.
“Dengar
cerita cuti raya Cina baru ni makan angin ke Langkawi, seronok ke?” soal Luqman
perlahan.
“Tak boleh
ke saya rasa seronok? Kalau saya seronok awak boleh sakit jantung?’ soalku
tanpa mahu melihat wajah Luqman.
“Bukanlah
begitu. Sekadar nak tahu saja.”
Aku gelak
sinis sekali. “Hai, sejak bila pulak nak ambil tahu tentang saya ni?”
“Nea,
kenapa macam ni? Kenapa kita tak boleh berbaik semula dan berkawan seperti
biasa? Boleh tak kita lupakan masa lalu kita? Dan anggap semuanya sebagai
suratan takdir. Jauh di sudut hati saya, saya masih sayangkan awak Nea.”
“Luqman,
apa yang awak merepek ni? Nak kita berbaik semula dan berkawan seperti biasa?
Kalau saya buat macam tu ibarat saya berjalan atas kaca, awak tahu tak? Setelah
apa yang awak lakukan terhadap saya, awak ada hati lagi nak berbaik-baik dengan
saya? Awak ni dah hilang ingatan ke Luqman. Disebabkan cinta awak yang overdose
tu kat Hanani, awak dah lupa apa yang sudah awak lakukan terhadap saya? Saya
nak berbaik semula dengan orang yang mengkhianati diri saya? Karut betul!” Aku
pandang tepat muka Luqman sambil senyum sinis.
“Nea, kita
boleh jadi sahabat. Saya masih mahu berkawan dengan awak. Awak pernah menjadi
seseorang yang istimewa dalam hidup saya dan saya sangat menghargai saat-saat
indah kita bersama.”
“Tapi saya
anggap awak sudah lama mati. Dan
sebolehnya saya tak nak ingat apa-apa tentang awak. Jadi tolong jangan kacau
hidup saya lagi. Cukuplah dengan apa yang awak telah buat. Saya memang sudah
tak ada hati dan perasaan lagi. Maaf kalau bahasa saya kasar terhadap awak dan
baby awak. Nampaknya kita tak boleh berbaik sampai bila-bila.” Aku tegas dengan
keputusanku. Selagi aku tidak boleh lupa segala kesakitanku akibat dikhianati,
selagi itu aku tidak akan maafkan Luqman. Sampai bila-bila.
“Kalau
begitu, bermakna awak masih sayangkan saya. Awak tak boleh terima kenyataan
kerana awak masih mengharapkan kasih daripada saya. Bukan begitu?”
“Tolonglah.
Jangan cakap yang bukan-bukan. Jangan buat saya muntah kat sini. Untuk
pengetahuan awak, saya sudah jumpa pengganti awak. Jadi kalau betul awak masih
nak mengambil berat tentang saya, doakanlah saya bahagia. Itu sudah cukup buat
saya.” Aku sambung buat kerja. Kalau ikutkan aku malas nak bercakap dengan
Luqman.
“Tak
perlulah awak menipu. Saya kenal awak siapa. Tak semudah itu awak mahu mencari
pengganti.”
Tanpa mahu
menjawab, aku terus serahkan telefon bimbitku. Mahu Luqman melihat
gambar-gambar yang aku rakamkan bersama Megat Zafril ketika di Langkawi. Cukup
sebagai bukti sudah ada lelaki dalam hidupku.
“Siapa dia
ni?” soal Luqman. Aku angkat muka untuk melihat muka Luqman. Mahu melihat riak
wajah Luqman apabila melihat gambar-gambarku bersama Megat Zafril. Ternyata
wajah lelaki yang kononnya paling kacak di kilang biskut ini berubah sama
sekali.
“Megat
Zafril,” jawabku pantas.
“Siapa
dia?”
“Anak
kenalan mak saya. Mak saya yang perkenalkan kepada saya. Mana tahu pilihan mak
saya berkat. Harap macam tulah.” Rasa seperti sangat gembira melihat wajah Luqman
begitu. Seperti aku sudah mencarik-carik perasaannya. Seperti aku sudah berjaya
menyakiti perasaannya.
“Awak
suka?”
“Saya suka
dan sedang mengenali hati masing-masing. Setakat ni dia sangat menyenangkan
hati saya dan saya rasa tak ada sebab untuk saya menolak pilihan mak saya kali
ni. Saya akan beri peluang kepada dia.” Aku bercakap dengan yakin. Sesungguhnya
itulah yang bakal aku lakukan. Memberi peluang kepada Megat Zafril.
Ketika aku
rasa gembira teramat sangat dan Luqman masih melihat gambar-gambarku, telefon
bimbit di tangan Luqman berbunyi galak. Luqman pandang wajahku. “Megat Zafril,”
katanya selepas itu. Cepat aku sambar telefon bimbitku dan jawab terus.
“Assalamualaikum.”
Suara romantik Megat Zafril memberi salam. Sekejap ini pula rasa perasaan
berbunga-bunga.
“Waalaikumusalam.
Abang kat mana ni?” soalku sambil pandang wajah Luqman. Jelas tidak senang pada
wajah itu. Sukanya aku melihat keadaan Luqman begitu. Bertambah berbunga
perasaan.
“Abang kat
luar ni. Nak jumpa kawan kejap. Err, boleh kita keluar makan tengahari ni?”
“Alaa…tak
bolehlah bang. Tempat kerja Nea memang tak benarkan kami keluar makan tengahari
kat luar. Memang dah undang-undang macam tu. Err, apa kata makan malam?” Tak
sampai hati pulak tolak pelawaan Megat Zafril, tapi apa boleh buat. Peraturan
kilang sudah tertulis begitu.
“Emm,
boleh jugak tu.”
“Tapi kita
kena rahsiakan dulu daripada mak-mak kita. Karang kalau tahu mahu esok mereka
tunangkan kita.”
Aku dengar
Megat Zafril gelak. Mula terbayangkan bibirnya dan gelak tawanya. Walau baru
semalam, tapi rasanya aku sudah mula merindui senyuman itu. Ah! Gawat ni.
“Tu
memanglah. Kena rahsiakan. Tak pasal-pasal karang syak kita jatuh cinta pulak.”
Rasanya
memang ya. Memang sudah mula jatuh cinta. Kalau tidak masakan aku terbayang-bayang
senyuman Megat Zafril. Masakan aku terbayang tutur bicaranya yang lembut dan
menawan hati. Dan semuanya seperti menyenangkan perasaanku.
“Okey
abang, nanti dah tahu nak makan kat mana, abang call Nea semula. Nea tengah
buat kerja ni. Ada pulak manusia yang tak sekolah, tak reti-reti nak buat kerja
walau sudah bertahun kerja.” Sambil tu aku sempat lagi sakiti hati Luqman. Aku
dengar Megat Zafril gelak lagi. Seperti gembira benar dia.
“Okey,
okey. Maaf ganggu Nea. Nanti apa-apa hal abang call Nea. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam…”
Aku senyum sebaik sahaja suara Megat Zafril tidak lagi kedengaran. Suka.
Luqman
bangun tiba-tiba. Tidak tahu kenapa dia boleh bangun tetapi aku perasan wajah
Luqman benar-benar berubah selepas itu. Tiba-tiba perasaan suka aku jadi
berlipat kali ganda. Aku sudah sakitkan hati diakah? Bagus. Itu yang aku suka.