Selesai solat maghrib, aku lambung badan atas katil bagi
memberi ruang buat emak dan Hajah Asmah solat pula. Sebentar nanti ada acara
makan-makan bertemakan kekeluargaan. Rasanya aku malas turut serta sebab aku
tidak mahu campur dengan orang-orang tua. Karang depan-depan aku kena soal.
Susah nak jawab.
“Hmm, apa
pendapat Nea tentang Megat Zafril, dia okey?” soal Hajah Asmah sambil lipat
kain solat dan letak atas katil sebelah. Aku pandang emak yang sedang tambah
bedak ke muka sebaik sahaja selesai solat. Emak jeling tajam. Tandanya mahu aku
cakap benda yang elok-elok.
“Err…Nak Nea
cakap jujur atau cakap tipu?’ soalku pula.
“Yang
jujur dan ikhlas.”
Aku
pandang lagi emak. Muka emak masih begitu. Kemudian pandangan tertumpah pada
wajah Hajah Asmah. Serba salah, itu saja perkataan paling sesuai untuk mewakili
keseluruhan perasaanku ketika ini. Tapi seperti kata Megat Zafril, tak perlu
bermuka-muka kalau sekadar hendak menjaga hati.
“Jujur Nea
cakap Abang Zafril seorang lelaki yang sangat membosankan. Sepatah Nea cakap,
sepatah jugaklah Abang Zafril jawab.
Bosanlah.”
Jelas
wajah Hajah Asmah menampakkan perubahan yang sangat besar. Merudum terus.
Hilang wajah cerianya. Terbit rasa bersalah di benakku. Keterlaluan benarkah kata-kataku?
Tadi Hajah Asmah sendiri mahu aku berikan jawapan, bila sudah jawab lain pulak
kisahnya. Ah! Susahlah kalau begini. Hati orang tua memang mudah tergores. Tak
boleh silap sikit.
“Zafril tu
memang jenis macam tu. Tak banyak cakap. Tapi dia baik. Tak suka berkawan
dengan perempuan.” Hajah Asmah nampaknya masih tidak mahu mengalah. Nada percakapan
juga seperti tidak puas hati.
“Betul, Nea
fikir pun rasa Abang Zafril macam tu, tapi
dia agak membosankan. Mak cik tahukan, Nea ni suka bercakap. Nea suka berjalan
ke sana sini. Abang Zafril pulak, ajak
pergi sana tak nak. Pergi situ tak nak. Memang bosanlah. Asyik duduk aje…”
Hebat aku malam ini jadi tukang karut. Habis Megat Zafril kena jual. Tetapi
kenapa hatiku pula yang terasa sakit bila meluahkan kata begitu? Sedangkan aku
tahu Megat Zafril tidaklah seburuk itu.
Hajah
Asmah cepat-cepat sarung tudung. Kemudian kenakan sedikit gincu di bibirnya.
“Err, kita tunggu kat bawahlah,” kata Hajah Asmah tiba-tiba. Seperti
tergesa-gesa hendak tinggalkan bilik. Dan aku tahu Hajah Asmah sedang merajuk.
Buruknya perangaiku.
“Pergilah
dulu. Nanti kami turun,” balas emak. Aku pandang saja langkah Hajah Asmah yang
menuju pintu. Sebaik sahaja Hajah Asmah keluar, emak terus tolak kepalaku.
“Tak boleh
nak cakap elok sikit?” soal emak.
“Habis,
Hajah Asmah sendiri yang tanya. Nea jawablah. Dah jawab, marah pulak.”
“Yalah,
tak boleh nak menipu sikit-sikit?”
“Tak
kanlah nak tipu kalau dah perangai anak dia macam tu.”
“Nea ni memang
tak pandai nak jaga hati orang langsung. Kalau tak suka sekalipun, tak boleh
nak cakap elok-elok. Mak tak kira, Nea suka atau pun tidak, Megat Zafril tetap
akan jadi menantu mak. Mak berkenan dengan dia. Baik budaknya dan berbudi bahasa.
Mak mahu waktu kita di sini, Nea cuba untuk sukakan dia.”
“Bukannya Nea
tak suka, tapi dia tak sesuai dengan Nea. Tak serasi macam mana nak jadi suami Nea.”
“Nea
jangan banyak ceritalah. Macam Nea tu bagus sangat!” Mak atur langkah menuju
pintu. Tahu emak sedang marah tapi sesungguhnya aku lebih marah lagi. Mana
boleh paksa untuk sukakan seseorang. Itu soal perasaan. Mana boleh main-main
dengan perasaan sendiri.
“Cepat
siap,” arah emak sebelum tinggalkan bilik. Nak tak nak Aku terpaksa menurut.
Sarung tudung dan bergerak tinggalkan bilik.
Waktu aku sampai di kawasan tempat letak kereta, aku nampak
Megat Zafril sedang menunggu di situ. “Tunggu Nea?” soalku.
“Hmm,”
jawab Megat Zafril. Dia pandang aku tepat.
“Muka
macam baru kena marah aje.” Cuba bersoloroh dengan Megat Zafril. Jelas
kelihatan wajahnya seperti orang baru ke marah.
“Tau tak
apa!” jawab Megat Zafril.
“Hmm, dah
agak.”
“Masak
abang macam ni.” Megat Zafril seperti merungut dan aku terus gelak. “Ada ke
patut esok paksa abang bawa Nea jalan-jalan sebab Nea cakap abang membosankan,”
kata Megat Zafril lagi.
“Sorrylah.
Sebab sudah menyusahkan abang.” Betul-betul rasa serba salah ketika itu.
Melihat wajah Megat Zafril yang agak muram, aku tahu dia benar-benar kena marah
dengan Hajah Asmah.
“Abang pun
minta maaf sebab melibatkan Nea dalam hal ni. Abang tahu semua ni rancangan mak
abang. Kalau tidak tak jadi macam ni.”
“Terdesak
sangat ke mak abang nak bermenantu sampai aturkan rancangan macam ni?” Kami sama-sama
melangkah sambil berbual menuju restoren yang tidak jauh dari penginapan kami.
“Mak abang
sebenarnya malu sebab mak ada pinang sepupu abang. Tapi kena tolak. Sebab nak
tutup malu tu, mak cuba kenenkan abang dengan Nea.”
Ada cerita
disebalik cerita rupanya.
“Yalah,
siapalah yang nak abang yang kerja biasa-biasa aje ni. Sebelah mata pun orang
tak pandang.”
Macam
sindir aku saja. Sebab aku pun sudah tolak dia awal-awal lagi. Tapi bukan aku
memandang akan paras rupa atau pangkat Megat Zafril tetapi mana boleh aku kata
aku suka kalau perkataan suka itu memang benar-benar tidak ada. “Abang jangan
cakap macam tu. Nea tak fikir pun apa-apa pun. Cuma Nea belum bersedia untuk
ada komitmen dalam rumah tangga. Itu aje.”
“Abang pun
tak cakap Nea. Abang cakap sepupu abang tu.”
“Tapi cara
abang bercakap buat Nea terasa sama.”
“Lah,
janganlah terasa.”
Manalah
aku tak terasa kalau cakap jenis tala kepada semua. Sedangkan yang ada di situ
hanya aku dan dia sahaja. Jadinya memang sah dia sindir aku.
“Memanglah
terasa.” Aku jawab selamba.
“Janganlah macam tu. Gadis muka
cantik mana boleh mudah terasa. Nanti turun harga.” Megat Zafril gelak sekali. Seperti
mahu mengambil semula hatiku. Aku senyum tawar sebagai tandaku terima
gurauannya. Gadis muka cantik? Betul ke?
“Hmm, baru
sampai?” soal Haji Megat Bakri. Serius saja bunyinya. Aku pilih duduk sebelah
mak dan Megat Zafril pilih duduk bersebelahan Haji Megat Bakri dan Hajah Asmah.
“Dah buat
pesanan?” soal Megat Zafril.
“Sudah, tinggal
air korang berdua saja,” balas Hajah Asmah. Kemudian mereka berbual sesama
mereka. Tinggal aku dan Megat Zafril yang terpaksa melayan perasaan
sendiri-sendiri. Bosan amat. Kenapalah boleh terlibat dengan keadaan seperti
ini.
Aku
pandang Megat Zafril. Dia senyum tawar. Rasanya kalau boleh lari, sudah lama
dia lari dan aku tidak teragak-agak untuk lari sama dengannya. Biarlah, dari
terpaksa dengar orang tua berbual lebih baik lari saja.
Haji Megat
Bakri melaung seorang pekerja restoren. “Nea nak minum air apa?” soal Haji Megat
Bakri.
“ABC.”
Terus aku jawab.
“Nea tu
semput. Mana boleh minum air sejuk malam-malam macam ni. Sudahlah di sini angin
kuat.” Mak bantah. “Bagi MILO panas.”
Seperti selalu emak buat keputusan untukku. Terkebil aku pandang budak pelayan
berlalu pergi.
Suasana
kembali seperti biasa selepas itu. Aku pula sambung dengan rasa bosan. Megat
Zafril kelihatan sama. Seketika kami lawan tentang mata. Dia senyum aku balas,
macam tu saja buat beberapa ketika. Dan akhirnya baru aku perasan, Hajah Asmah
sedang perhatikan kami. Wajah Hajah Asmah agak masam waktu aku pandang
wajahnya. Aku sekadar senyum namun senyumanku dibalas dengan senyuman yang agak
menakutkan. Hmm, fikir dua tiga kali jugak nak buat mak mertua ni. Mesti
garang.
“Esok anak
kita ni nak ajak Nea jalan-jalan, boleh tak hajah?” Hajah Asmah bersuara
tiba-tiba. Puas sudah agaknya melihat aku dan Zafril begini.
“Eh, boleh
aje. Kita tak kisah.” Mak beri jawapan cepat. Sah konspirasi terancang. Aku tak
terkejut sangat dengan keizinan mak tu. Memang lampu hijau akan menyala terus
terusan.
“Hmm, ke
mana nak berjalannya. Si Nea ni kuat berjalan. Karang buat penat Zafril saja.
Jangan ikutkan sangat kepala Nea ni.” Ayah menyampuk. Rasanya ayah masih kurang
jelas dengan keadaan sebenar jadi ayah nampak sedikit blur. Atau mak tidak
perjelaskan dengan terperinci tentang niat murni emak hendak mengenenkan aku
dengan Megat Zafril? Ayah memang selalu begitu. Bak kata kak long, ayah selalu
salah naik bas. Nak gelak aku jadinya dengan sikap kurang mengambil tahu ayah
itu.
“Tak
adalah haji, dah datang sini tak kan nak memerap kat bilik saja. Apa guna
bercuti. Nak jalan-jalan dengan kita sah tak sesuai dengan jiwa mereka. Kita
biarkan ajelah mereka dengan hal mereka.” Hajah Asmah masih berusaha.
Aku
pandang Megat Zafril. Wajahnya beriak bosan. Nampaknya bukan saja lagi aku yang
jadi mangsa, Megat Zafril juga terlibat sama.
“Hmm, yang
kita pesan sudah sampai,” kata Haji Megat Bakri sebaik sahaja pesanan yang
mereka minta dihidangkan. Pergh, takut aku tengok. Siap ikan bakar, udang
bakar, kerang bakar, ada tom yam, ada sayur campur. Memang makan besar malam
ni.
“Hmm, apa
lagi. Jemput makan,” kata Haji Megat Bakri. Maknanya semua ni atas tajaan Haji
Megat Bakri.
Megat
Zafril baca doa makan sebelum tu, aku tumpang aminkan. Masa dia baca doa, aku
pandang wajah dia. Masih tenang tapi tetap wajah bermasalah. Kesian dia. Aku
faham, aku mengerti keadaan Megat Zafril. Aku lebih merasakan, tetapi apa daya
kami hendak mengelak. Karang memberontak, kata kami anak derhaka. Paling teruk
kalau emak luahkan kata-kata yang kurang enak. Jadi hendak atau tidak, inilah
saja pilihan yang kami ada. Pasrah.
“Budak Nea
kalau makan udang, macam inilah caranya. Nak kita buangkan kulitnya baru nak
makan.” Emak bercakap sambil buang kulit udang. Beberapa ekor udang yang sudah
emak buang kulit, emak letak dalam pingganku.
“Siapa
yang ajar? Sejak kecik diajar macam tu, sampai ke tualah dia buat
perangai.”Ayah mencelah. Aku buat tak dengar. Emak memang begitu, jadi bagaimana
aku mahu lakukan sendiri.
Aku
sambung makan. Kemudian aku ambilkan emak ikan. Pastikan isi tanpa ada sebarang
tulang. Aku tahu penglihatan emak sudah kurang jelas bila waktu malam. Tanpa
sedar perbuatan kami diperhatikan. Biasalah, aku anak emak. Apa-apa hal aku
semua dengan emak. Duit gaji aku juga emak yang pegang. Cuma dalam bab
mengenenkan aku saja, aku rasa nak jadi anak emak orang lain.
Acara
makan berlangsung dengan senyap. Berbual pun di kalangan orang tua saja. Itupun
sesekali.
“Apa mak
ni.” Tiba-tiba Megat Zafril bersuara. Aku angkat muka. Nampak seperti Hajah
Asmah cubit perut Megat Zafril. Apa lagi tu. Apa lagi yang tak kena? Ada-ada
saja. Kesian kawan tu nak makan pun tak selesa.
Hajah Asmah
sambung makan lepas tu dan aku masih pandang Megat Zafril. Dia juga pandang
aku. Aku angkat kening, sebagai tanda aku tanya apa yang tidak kena. Megat
Zafril geleng sebagai tanda jawapan. Tak sangka faham juga dengan soalanku.
Waktu aku
nak ambil kuah tom yam, Megat Zafril letak 3 ekor udang dalam pingganku.
Terkejut aku. Terus pandang wajah Megat Zafril. Wajah tenang itu tetap tidak
beriak. Hmm, tadi kena cubit tu suruh buangkan kulit udang ke? Ya Allah,
kesiannya dia.
“Terima
kasih.” Aku cakap perlahan.
“Zafril
memang macam ni. Rajin tolong buang kulit udang,” kata Hajah Asmah. Nak rasanya
aku tepuk dahi. Masalah betul dengan orang tua seorang ini. Sampai begitu
sekali menjaja anak.
“Hmm,
sesuai sangatlah dengan Nea yang pemalas tu.” Ayah tak sudah lagi. Aku sambut
dengan senyum. Tuang kuah tomyam ke dalam mangkuk kecil dan serahkan kepada
ayah. Sayang ayah, cuma dengan ayah aku tak berapa ngam. Ayah tak boleh jadi
geng sebab ayah berjiwa pembangkang.
Selesai
acara makan, acara lepak pula. Tepi pantai jadi pilihan. Kelihatan ramai yang
sedang berpesta di tepian pantai. Pelbagai bangsa. Mak tetap dengan Hajah
Asmah. Ayah dengan Haji Megat Bakri. Aku? Aku dengan bosan. Mujur ada telefon
bimbit. Bolehlah aku berbual dengan Linda.
“Boring?”
Linda gelak dengan kuat. Macamlah perkataan boring itu sangat melucukan.
“Eh, kau
keluar sekali dengan geng orang tua. Barulah kau tahu macam mana rasanya.”
“Habis cik
abang tu mana?’
“Cik abang
mana?”
“Ala,
suami masa depan tulah.”
“Suami
masa depan?” Aku masih tidak faham. Kemudian aku perasankan Megat Zafril
pandang aku. Itukah suami masa depanku? Aduhai, lagilah aku tak rela. Susah nak
cakap.
“Hmm…” Itu
saja aku boleh cakap. Lebih-lebih tak boleh. Bimbang bakal mencederakan hati
dan perasaan Megat Zafril. Dia juga ada perasaan yang perlu aku jaga.
“Kenapa?
Teruk sangat ke?”
“Dia pun
macam tak suka aku saja. Macam kena paksa saja.” Itulah yang aku rasa sekarang
ini. Dia seperti kurang berminat dengan rancangan kedua ibu bapa kami. Siapalah
yang suka kalau sudah dipaksa-paksa. Mana boleh kena dengan jiwa.
“Nak buat
macam mana. Nasib kaulah.”
“Memang
nasib akulah.”
“Eh, kau
telefon aku nanti. Aku nak keluar makan dengan Raiyan. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Ah!
Sambung bosan lagi. Aku tarik nafas panjang. Tak tahu nak buat apa. “Mak, Nea
masuk biliklah.” Akhirnya aku ambil keputusan.
“Amboi,
tak kan nak tidur. Awal lagi. Selalu kalau tak tengah malam tak tidur.” Mak
perli.
Aku terus
atur langkah tanpa pedulikan emak. Megat Zafril ekori dari belakang.
“Hmm,
bosankan?” Dia cakap waktu kami menaiki tangga.
“Bosan
sebab terikat dengan mereka. Kalau kita saja mesti tak bosan.” Aku sedapkan
hati Megat Zafril. Tidak mahu dia terasa apa-apa.
“Tak
maksud abang, abang memang seorang yang membosankan.”
Aku senyum
saja. Tak kan nak menipu pula. Mustahil juga aku mahu berterus terang yang dia
itu memang membosankan. Dua-dua jawapan tak kena.
“Abang
tahu, abang memang membosankan.” Ada nada merajuk di situ dan aku semakin serba
salah.
“Mungkin
kita masih belum biasa. Kalau kita dah biasa, mungkin tak ada masalah.” Aku
pujuk lagi. Tak baik calarkan perasaan orang. Tu namanya bajet bagus. Macamlah
aku ni sempurna benar.
Megat Zafril
diam. Mungkin masih tidak terpujuk.
“Abang…”
Aku panggil Megat Zafril.
“Emm.” Dia
pandang aku.
“Kita
pergi rumah urut,”
“Hisy,
merepek Nea ni. Nak kena sembelih dengan mak abang?”
Aku gelak
dengan kuat. Kemudian aku tampar bahunya. “Nea salah cakap sebenarnya.” Aku
sudah tidak tahan melihat riak wajah Megat Zafril yang berubah tiba-tiba. Terus
sambung gelak. “Sebenarnya Nea nak abang temankan Nea pergi urut badan.” Aku
betulkan ayat.
Baru aku
nampak dia senyum selepas pucat tadi. Takut betul dia dengan rumah urut. Yalah,
takkanlah anak mak aji buat perangai pelik macam tu.
“Betul ke
Nea nak pergi urut badan?” soal Megat Zafril kemudiannya.
“Err…” Tak
adil pulak nanti. Pasti berjam pula dia kena tunggu. Kesian dia. “Emm, apa kata
kalau kita pergi makan ais krim?” Itu cadanganku.
“Abang
ikut aje.”
“Ini yang
Nea suka. Tak ada bantahan langsung.” Aku turun tangga semula. Tak jadi tidur.
Selepas ni kami boleh makan ais krim. Mungkin perasaan akan lebih nyaman dan
sejuk. Harap begitulah.
MZ mmg sporting....:)
ReplyDeletedalam membosankan... nea kena akui yang MZ sporting n caring
ReplyDeletehahaha seriously sy bc n3 ni sy trgelak haha..klakar btul la..siap kn cubit gan mak lagi tu ekekeke..senak perut ktawa..
ReplyDeletetp cian diaorg ni kan..tp ok pe..mn tau esok2 TERjatuh cinta kan..hopefully biar la diaorg bsama kak..sy dah suka kat megat zafril wpun dia tu mmbosankan heh
nisa, dia memang sporting. tu mula jatuh suka tu
ReplyDeletelyna, memang betul. lelaki paling sesuai dengann perangai gediknya
sha, mereka memang jatuh cinta nanti tu. heheh...
haha. sngih sesorang baca tang hajah asmah jaja anak tuh.
ReplyDeletelawak r.
dorang keluar mkn aiskrim tu takd yg jadi spy ke? hakhak.
adeh...bersungguh mak bapak nk kenen2 kan ni...
ReplyDeletesian nea dgn megat zafril..