Wednesday 1 August 2012

DIA PILIHAN HATI bab 6


Rasa betul-betul tidak seronok. Rasa mahu sambung bercuti dan duduk-duduk di tepi pantai Cenang sambil melihat ombak dan pergi. Rasa rindu akan pulau bertuah itu. Rindu akan hembusan anginnya, rindu akan kedamaiannya. Semua aku rindu dan rasanya aku lebih rindukan dia. Kenapa harus dia? Kenapa mesti Megat Zafril?
            “Hmm, kenapa menung ni?” Sampai-sampai Linda terus tanya. Aku pandang muka Linda dengan perasaan pelbagai. Selalunya mahu juga aku puji baju dia cantik tapi hari ni tak ada hati langsung hendak memuji.
            “Orang lain balik bercuti, muka berseri-seri, kau pulak macam muka orang tak ada hati dan perasaan. Kenapa? Duit banyak habis?” Linda gelak sekali. Dia duduk di tempatnya kemudian keluarkan bedak. Ditempek ke muka beberapa kali sebelum dia tambah gincu. Walau tanpa semua tu, Linda tetap cantik, tetap ayu.
            “Lin, aku dah buat silap ke dengan percutian ni?” soalku tiba-tiba. Sungguh, perasaan sangat tidak sedap ketika ini.
            “Apa maksud kau?”
            “Megat Zafril.”
            “Kenapa dengan Megat Zafril?”
            “Aku macam sukakan dia.” Tidak teragak aku luahkan perasaan kerana itulah yang aku rasa sejak akhir-akhir ini. Aku boleh berbohong tentang apa saja, tetapi aku tidak boleh berbohong tentang perasaanku sendiri. Sangat menyakitkan bila berbohong dengan perasaan sendiri.
            Linda gelak. Kuat dia gelak, macamlah nama Megat Zafril itu salah seorang nama pelawak. Geram aku jadinya. Tidak memahami langsung. “Kenapa kau rasa macam tu sedangkan kau bagitahu aku, dia seorang yang begitu membosankan?” soal Linda sebaik sahaja gelaknya reda. Tahulah aku, Linda memang betul-betul gelakkan aku.  
            “Dia tidak seperti Luqman. Jauh sangat.”
            “Hmm, kenal hati budi dia dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru. Aku tak nak pisang berbuah dua kali. Kali ni kalau kau terluka, tentu lebih sakit.”
            Aku angguk. Tanda setuju. Aku tidak mahu terluka lagi. Tidak sama sekali membiarkan hatiku terluka oleh lelaki sekali lagi tetapi aku berhak untuk mencuba semula. Mana tahu kali ini akan memberikan aku kebahagiaan yang aku impikan selama ini.
            “Bagaimana orangnya sampai kau boleh terbuka hati? Sedangkan aku tahu, kau bukan jenis yang mudah jatuh cinta. Luqman dulu pun, ayat bagai nak rak baru kau terima.”
            “Dia seorang yang sederhana. Nampak tenang. Langsung tidak bersikap memaksa. Mulanya aku membayangkan Megat Zafril tu sombong, ego. Tapi tak sangka dia sangat menyenangkan. Tak sombong langsung. Rasa macam selamat kalau di samping dia. Solat pun dia tak tinggal. Itu yang penting.” Terbayang semula tingkah Megat Zafril yang cukup sederhana, bersahaja dan sesekali pandai juga buat jenaka. Sangat menyenangkan.
            “Hmm, seperti menarik saja bunyinya. Habis ada rancangan nak jumpa lagi?”
            “Hisy, merepek kau ni. Tak kan aku nak ajak dia keluar.” Aku gelak. Sudah terikut cara Megat Zafril bercakap.
            “Manalah tahu. Kan benda bagus selalunya susah nak dapat.”
            “Tapi tak kanlah sampai nak menjatuhkan maruah pulak.”
            Kami sambung buat kerja. Tinggalkan sekejap pasal Megat Zafril. Senang-senang nanti aku boleh sambung ingat dia. Buat sementara tak nak fikir apa-apa.
            “Seorang tolong pergi bahagian production. Ada masalah sikit dengan kiraan di sana,” arah Encik Sufian.
            “Nanti saya pergi.” Linda menawarkan diri tapi aku tahu Linda lebih kepada mahu membantuku. Dia tahu kalau aku ke bahagian production, aku akan bertembung dengan Luqman. Kalau bertembung dengan Luqman, hati aku sakit semula.
            “Awak tolong saya buat ni, biar Nea pergi production.”
            “Tadi encik tanya siapa nak pergi, sekarang cakap macam tu pulak. Kalau macam tu tak payahlah tanya.” Linda menjawab seperti biasa. Pantang silap sikit, bukan dia kira siapa.
            Encik Sufian tidak menjawab sebaliknya hanya letak fail berwarna biru atas meja Linda. Takut dengan Linda agaknya. Bermakna mahu atau tidak, aku terpaksa ke bahagian production. Mahu atau tidak aku akan berhadapan juga dengan Luqman. Lebih menyakitkan aku akan berhadapan dengan Hanani.
            Ah! Rasa nak balik rumah saja. Rasa mahu saja telefon Megat Zafril, masuk ajelah meminang. Lepas tu aku tak perlu lagi bekerja. Duduk rumah jadi suri rumah sepenuh masa. Habis cerita.
            “Pergi sekarang,” arah Encik Sufian bila aku masih tidak bergerak lagi.
            Dengan perasaan berat, aku atur langkah. Dalam kepala sudah fikir macam-macam. Entah apalah alasan untuk aku membalas sindiran-sindiran Hanani nanti. Tunangan Luqman itu memang terkenal dengan cakap lepasnya.
            Semakin berat bila bahagian production semakin hampir. Mula sekali aku pandang meja Luqman. Kosong. Harap dia ada mesyauarat dengan Head Officer Department. Namun ternampak Hanani sedang berdiri berhampiran almari.
            “Hah kenapa naik sini pulak?” soal Hanani dengan wajah kurang senangnya.
            “Encik Sufian suruh tolong kira kat sini.”
            “Kau saja nak cari peluang datang production sebab kau nak jumpa Luqman bukan?” Nampak Hanani seperti gagal mengawal perasaannya.
            “Kau nak aku turun balik dan beritahu Encik Sufian yang kau halau aku sebab takut aku kacau tunang kau? Begitu?” Aku tentang wajah Hanani dengan berani. Peduli apa aku.
            “Cakap ajelah kau masih sayangkan Luqman.”
            “Kau ingat aku ada hati lagi dengan lelaki bangsat macam tu?” Hilang sudah kesabaranku. Aku sudah ingatkan, jangan mencari pasal dengan mengungkit benda yang lepas. Sakit hati nanti. Tapi Hanani degil juga. Setiap kali jumpa, itulah modal yang dia ungkit.
            “Kalau kau takut sangat, simpan dia tu dalam kain kau. Habis cerita. Aku sebenarnya sikit tak hairan dengan tunang kau tu.”
            “Mulut kau jaga sikit. Jangan kurang ajar sangat.”
            “Siapa yang mulakan dulu? Aku atau pun kau. Aku datang atas arahan Encik Sufian. Kalau kau tak puas hati, kau boleh jumpa Encik Sufian sendiri. Aku tak ada masalah. Tak datang sini aku lagi suka. Tak payahlah aku tengok muka-muka bangsat kat sini!” Suaraku makin lantang sehingga menarik beberapa kaki tangan lain. Aku jeling semuanya dengan pandangan tajam sehingga masing-masing sambung kerja.
            “Kenapa bising-bising ni?” Luqman muncul tiba-tiba. Aku pandang wajah Luqman dengan perasaan membara.
            “Tanya sendiri kat tunang kesayangan awak tu,’ marahku.
            “Baby kenapa ni?” soal Luqman kepada Hanani. Baby? Aku sanggup makan rumput daripada tunang aku nanti panggil aku baby. Rasa nak muntah kejap ini juga.
            “Tak tahulah. Dia ni datang marah-marah. Senang-senang panggil ayang bangsat.” Hanani menurun dengan sawan gediknya. Karang bukan dia saja yang aku lempang, dengan ayang dia sekali melayang.
            “Saya datang sini atas arahan Encik Sufian disebabkan bahagian sini bangang sangat tak reti-reti nak buat kira. Tapi kedatangan saya disambut dengan maki hamun yang menyatakan saya ni saja gatal datang sini untuk mengorat tunang orang. Jadi betullah kat atas ni ada yang jadi bangsat!” Aku jeling Hanani dengan pandangan tajam.
            “Nea, jangan melampau sangat,” suara Luqman sedikit perlahan.
            “Saya tidak melampau.Saya ikut keadaan. Kalau orang melampau dengan saya, saya nak diamkan saja ke?”
            “Okey, okey. Awak boleh sambung kerja awak. Baby sambung kerja baby.” Seperti biasa Luqman jalankan misi pengamannya. Memang amanlah. Si ‘baby’ hentak kaki tinggalkan kami dengan jelingan tajam.
            “Kalau boleh janganlah datang sini selalu.” Luqman bersuara perlahan. Jelas dan nampak betapa pengecutnya Luqman.
            “Saya pun tak teringin nak datang sini. Kalau tak Encik Sufian yang suruh, tak ingin saya jejakkan kaki ke bahagian ni. Dan kalau bahagian sini tak bangang sangat, tak buat salah, saya rasa, tak perlu saya datang tolong. Kenapa masing-masing masih tak tahu buat kerja? Cakap masing-masing pandai. Tapi bila buat kerja semuanya tak boleh diharap.” Aku sambung berleter sambil mengambil tempat. Luqman letak beberapa fail yang perlu aku buat pemeriksaan. Kemudian dia sendiri duduk di hadapanku. Tanpa memperdulikan diri Luqman, aku sambung buat kerja. Mencari punca kenapa lebihan pengeluaran tidak sama dengan jumlah jualan. Kilang biskut yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera itu, kerap benar berlaku lebihan pengeluaran.
            “Dengar cerita cuti raya Cina baru ni makan angin ke Langkawi, seronok ke?” soal Luqman perlahan.
            “Tak boleh ke saya rasa seronok? Kalau saya seronok awak boleh sakit jantung?’ soalku tanpa mahu melihat wajah Luqman.
            “Bukanlah begitu. Sekadar nak tahu saja.”
            Aku gelak sinis sekali. “Hai, sejak bila pulak nak ambil tahu tentang saya ni?”
            “Nea, kenapa macam ni? Kenapa kita tak boleh berbaik semula dan berkawan seperti biasa? Boleh tak kita lupakan masa lalu kita? Dan anggap semuanya sebagai suratan takdir. Jauh di sudut hati saya, saya masih sayangkan awak Nea.”
            “Luqman, apa yang awak merepek ni? Nak kita berbaik semula dan berkawan seperti biasa? Kalau saya buat macam tu ibarat saya berjalan atas kaca, awak tahu tak? Setelah apa yang awak lakukan terhadap saya, awak ada hati lagi nak berbaik-baik dengan saya? Awak ni dah hilang ingatan ke Luqman. Disebabkan cinta awak yang overdose tu kat Hanani, awak dah lupa apa yang sudah awak lakukan terhadap saya? Saya nak berbaik semula dengan orang yang mengkhianati diri saya? Karut betul!” Aku pandang tepat muka Luqman sambil senyum sinis.
            “Nea, kita boleh jadi sahabat. Saya masih mahu berkawan dengan awak. Awak pernah menjadi seseorang yang istimewa dalam hidup saya dan saya sangat menghargai saat-saat indah kita bersama.”
            “Tapi saya  anggap awak sudah lama mati. Dan sebolehnya saya tak nak ingat apa-apa tentang awak. Jadi tolong jangan kacau hidup saya lagi. Cukuplah dengan apa yang awak telah buat. Saya memang sudah tak ada hati dan perasaan lagi. Maaf kalau bahasa saya kasar terhadap awak dan baby awak. Nampaknya kita tak boleh berbaik sampai bila-bila.” Aku tegas dengan keputusanku. Selagi aku tidak boleh lupa segala kesakitanku akibat dikhianati, selagi itu aku tidak akan maafkan Luqman. Sampai bila-bila.
            “Kalau begitu, bermakna awak masih sayangkan saya. Awak tak boleh terima kenyataan kerana awak masih mengharapkan kasih daripada saya. Bukan begitu?”
            “Tolonglah. Jangan cakap yang bukan-bukan. Jangan buat saya muntah kat sini. Untuk pengetahuan awak, saya sudah jumpa pengganti awak. Jadi kalau betul awak masih nak mengambil berat tentang saya, doakanlah saya bahagia. Itu sudah cukup buat saya.” Aku sambung buat kerja. Kalau ikutkan aku malas nak bercakap dengan Luqman.
            “Tak perlulah awak menipu. Saya kenal awak siapa. Tak semudah itu awak mahu mencari pengganti.”
            Tanpa mahu menjawab, aku terus serahkan telefon bimbitku. Mahu Luqman melihat gambar-gambar yang aku rakamkan bersama Megat Zafril ketika di Langkawi. Cukup sebagai bukti sudah ada lelaki dalam hidupku.
            “Siapa dia ni?” soal Luqman. Aku angkat muka untuk melihat muka Luqman. Mahu melihat riak wajah Luqman apabila melihat gambar-gambarku bersama Megat Zafril. Ternyata wajah lelaki yang kononnya paling kacak di kilang biskut ini berubah sama sekali.
            “Megat Zafril,” jawabku pantas.
            “Siapa dia?”
            “Anak kenalan mak saya. Mak saya yang perkenalkan kepada saya. Mana tahu pilihan mak saya berkat. Harap macam tulah.” Rasa seperti sangat gembira melihat wajah Luqman begitu. Seperti aku sudah mencarik-carik perasaannya. Seperti aku sudah berjaya menyakiti perasaannya.
            “Awak suka?”
            “Saya suka dan sedang mengenali hati masing-masing. Setakat ni dia sangat menyenangkan hati saya dan saya rasa tak ada sebab untuk saya menolak pilihan mak saya kali ni. Saya akan beri peluang kepada dia.” Aku bercakap dengan yakin. Sesungguhnya itulah yang bakal aku lakukan. Memberi peluang kepada Megat Zafril.
            Ketika aku rasa gembira teramat sangat dan Luqman masih melihat gambar-gambarku, telefon bimbit di tangan Luqman berbunyi galak. Luqman pandang wajahku. “Megat Zafril,” katanya selepas itu. Cepat aku sambar telefon bimbitku dan jawab terus.
            “Assalamualaikum.” Suara romantik Megat Zafril memberi salam. Sekejap ini pula rasa perasaan berbunga-bunga.
            “Waalaikumusalam. Abang kat mana ni?” soalku sambil pandang wajah Luqman. Jelas tidak senang pada wajah itu. Sukanya aku melihat keadaan Luqman begitu. Bertambah berbunga perasaan.
            “Abang kat luar ni. Nak jumpa kawan kejap. Err, boleh kita keluar makan tengahari ni?”
            “Alaa…tak bolehlah bang. Tempat kerja Nea memang tak benarkan kami keluar makan tengahari kat luar. Memang dah undang-undang macam tu. Err, apa kata makan malam?” Tak sampai hati pulak tolak pelawaan Megat Zafril, tapi apa boleh buat. Peraturan kilang sudah tertulis begitu.
            “Emm, boleh jugak tu.”
            “Tapi kita kena rahsiakan dulu daripada mak-mak kita. Karang kalau tahu mahu esok mereka tunangkan kita.”
            Aku dengar Megat Zafril gelak. Mula terbayangkan bibirnya dan gelak tawanya. Walau baru semalam, tapi rasanya aku sudah mula merindui senyuman itu. Ah! Gawat ni.
            “Tu memanglah. Kena rahsiakan. Tak pasal-pasal karang syak kita jatuh cinta pulak.”
            Rasanya memang ya. Memang sudah mula jatuh cinta. Kalau tidak masakan aku terbayang-bayang senyuman Megat Zafril. Masakan aku terbayang tutur bicaranya yang lembut dan menawan hati. Dan semuanya seperti menyenangkan perasaanku.
            “Okey abang, nanti dah tahu nak makan kat mana, abang call Nea semula. Nea tengah buat kerja ni. Ada pulak manusia yang tak sekolah, tak reti-reti nak buat kerja walau sudah bertahun kerja.” Sambil tu aku sempat lagi sakiti hati Luqman. Aku dengar Megat Zafril gelak lagi. Seperti gembira benar dia.
            “Okey, okey. Maaf ganggu Nea. Nanti apa-apa hal abang call Nea. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam…” Aku senyum sebaik sahaja suara Megat Zafril tidak lagi kedengaran. Suka.
            Luqman bangun tiba-tiba. Tidak tahu kenapa dia boleh bangun tetapi aku perasan wajah Luqman benar-benar berubah selepas itu. Tiba-tiba perasaan suka aku jadi berlipat kali ganda. Aku sudah sakitkan hati diakah? Bagus. Itu yang aku suka.


Sunday 29 July 2012

DIA PILIHAN HATI BAB 5


MASA untuk berpisah. 3 hari 2 malam kami di Langkawi. Tanpa aku sedar banyak kenangan manis yang tercipta  terutama antara aku dan Megat Zafril. Walaupun berat untuk aku mengaku itulah kenangan manis yang terindah, namun hakikatnya aku tidak boleh menafikan kebenaran. Bersama Megat Zafril dan mencipta jejak-jejak manis adalah sesuatu di luar kotak pemikiranku. Sangkaku ianya bagai mimpi buruk tetapi yang muncul adalah sesuatu yang penuh dengan warna warni. Rasanya misi emak dan Hajah Asmah  menampakkan sedikit kejayaan. Aku dan Megat Zafril semakin mesra. Sehingga tiba di Jeti Kuah, kami masih bersama. Berbual dan bercerita tentang apa saja. Sungguh ajaib rupanya hubungan manusia ini.
            “Nea suka dengan percutian ni?” soal Megat Zafril perlahan ketika kami sama-sama menantikan feri tiba untuk membawa kami semula ke Kuala Kedah. Ketika itu keadaan jeti masih sesak dengan penumpang lain yang sama-sama menantikan feri. Riuh rendah seperti tidak terasa kerana aku seakan sudah tercampak ke daerah yang paling tenang yang sebelum ini aku tidak tahu akan ujudnya daerah tenang itu.
            “Hmm, gembira sebab dapat kenal abang,” balasku. Kami berdua memilih untuk berdiri di dinding kaca yang menampak sebahagian laut. Ingin mengasingkan diri dari pandangan kedua ibu  bapa kami . Yang jelasnya aku tidak mahu menampakkan mesra di mata mereka. Orang kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, inilah akibatnya. Kenapalah hari tu aku jadi terlalu sombong. Sombong untuk menerima Megat Zafril seadanya dan langsung tidak berlapik kata pada emak. Apakah ini balasan dari Tuhan kerana keterlanjuran bicaraku? Nampaknya aku sudah dapat cash  terus.
            “Abang pun gembira dapat kenal Nea.”
            Aku betulkan topi Megat Zafril yang agak menutup mata. Tak dapat melihat matanya. Selain senyuman, aku suka melihat mata Megat Zafril. Cantik dan tedup. Megat Zafril senyum. Ah…Susah hati aku jadinya.
            “Kita kawan,” kata Megat Zafril lagi.
            “Emm, kawan.” Aku angguk sambil pandang anak matanya yang nampak ikhlas. Redup dan tenang seperti menggambarkan hatinya yang juga tenang dan damai. Selama ini, aku belum pernah bertemu seorang lelaki seperti Megat Zafril. Rata-rata lelaki yang aku temui, belum ada membuatkan aku rasa selesa dan selamat termasuklah lelaki seorang itu. Lelaki yang telah membuatkan hatiku luka dan parah. Rasa sakitnya masih terasa sehingga membutakan mata hatiku untuk menerima lelaki lain. Namun kali ini seperti, mata hati mula terbuka untuk melihat semula lelaki yang ada di  hadapan mataku ketika ini.
            “Tapi boleh tak kawan jadi kekasih?” Waktu bertanyakan soalan itu, Megat Zafril pandang tempat lain. Mungkin soalan itu jenis soalan berat. Dia mungkin tidak mahu melihat wajahku kerana tidak mahu melihat jawapan kecewa yang dipamerkan pada wajahku.
            Aku tarik nafas panjang. Mencari jawapan yang boleh membuatkan Megat Zafril rasa selesa dan tidak terasa apa-apa. Dia tidak bersalah dan tidak perlu terhukum dengan keadaan yang menimpa aku sekarang.
            “Selalunya memang begitu. Dari kawan jadi kekasih. Yang susahnya dari kekasih menjadi kawan.” Aku tarik nafas lagi. Hakikat memang begitu. Jarang dari kekasih menjadi kawan. Sebahagiannya akan menjadi musuh selama-lamanya. Seperti tiada langsung kebaikkan semasa bersama.
            “Harap kita tidak akan menjadi musuh selepas ni. Kalau ada yang tidak puas hati berterus terang saja. Abang tidak mahu Nea rasa tertekan ketika berkawan dengan abang. Abang mengaku, dalam berkawan abang agak kolot. Banyak benda yang abang tak tahu.” Sekilas Megat Zafril jeling aku semula. Aku balas dengan senyuman nipis. Hati berkocak perlahan. Setiap kali Megat Zafril menjeling, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
            Aku senyum lagi. Anak emak memang begitu. Semuanya terbatas. Pergaulan sudah tentu terhad. Sebab itu anak emak semuanya serba tidak tahu. Semua emak yang uruskan. Nea, kalau awak pilih dia, nanti semua awak jugak yang kena uruskan. Nampak pada zahir lelaki seorang ini tidak tahu apa-apa. Rasanya tali kasut pun awak yang kena ikat, Nea. Sanggup ke tanggung risiko macam tu seumur hidup? Satu lagi, kalau pilih dia, awak tetap jadi nombor 2 untuk selamanya. Emak dia tetap nombor 1 sampai bila-bila. Ah! Kenapa jauh benar fikiran melayang?
            “Taklah. Abang biasa saja. Okey aje. Apa yang kolotnya?” soalku bersahaja.  
            “Janganlah nak sedapkan hati abang. Abang tahu kekurangan abang. Tak pandai nak berkawan.” Megat Zafril mengeluh selepas itu.
            “Tak adalah. Nea suka berkawan dengan abang. Nea ikhlas cakap ni. Tak ada kes nak sedapkan hati abang. Abang pun tahu bukan, Nea seorang yang suka berterus terang. Kalau Nea tak suka, Nea cakap tak suka. Nea tak suka simpan-simpan. Sebab itu kalau abang mahu terus jadi kawan Nea, abang kena tahan. Nea suka cakap lepas. Kalau abang nak cakap Nea kurang ajar pun Nea tak kisah.” Aku berterus terang dengan sikap sebenarku.
            “Itu yang abang suka. Tak suka dengan orang yang hipokrit ni.”
            Aku senyum lagi. Sebenarnya aku lebih hipokrit sekarang ini. Banyak yang aku sembunyikan, tetapi aku sekadar mahu menjaga hati saja. Mahu semua berada dalam keadaan yang menyenangkan.
            “Jangan jadi hipokrit semata-mata mahu menjaga hati orang,” kata Megat Zafril lagi. Dan aku mula rasa terpanggang. Senyumanku jadi tawar. Perasaan juga. Ya, kenapa harus jadi hipokrit semata-mata mahu menjaga hati orang lain? Dan kenapa harus jadi hipokrit semata-mata mahu rahsiakan perasaan sendiri? Kalau hati kata sudah suka, kenapa tidak boleh berterus terang saja? Kenapa masih nak menipu?
            Ah! Persoalannya sekarang ini, aku sudah terlanjur bercakap tidak serasi. Mana boleh kejap ini nak luahkan isi hati.

BARU beberapa jam berpisah, aku sudah mula terkenangkan Megat Zafril. Terasa seperti dia ada di sini sebagaimana dia menemaniku sepanjang berada di Langkawi. Aneh tentang lelaki seorang ini. Dia sangat biasa. Terlalu biasa. Penampilan sederhana tetapi di mataku nampak seperti sempuna.
            Apa sudah jadi Nea? Kenapa boleh bawa perasaan begitu sampai ke rumah? Mulut mati-mati cakap tidak serasi tetapi kenapa sangat berkesan di hati? Mustahil kalau Megat Zafril guna ubat pengasih. Tetapi perasaan rasa sangat lain. Terkenang-kenang. Tutur bicaranya yang sopan dan tersusun. Senyumannya yang manis dan sentiasa mahu melihatnya. Jangan jadi hipokrit Nea. Ingat Megat Zafril kata jangan jadi hipokrit. Dia tidak suka orang begitu. Dia silap. Sebenarnya dalam soal perasaan, kadang kala perlu jadi hipokrit.
            Aku lihat semula gambar-gambar yang tersimpan di dalam telefon bimbitku. 90 peratus adalah gambar Megat Zafril. Senang pula wajah-wajahnya diambil. Senyum, jeling, aksi nakal, semuanya seperti mengundang rasa rindukku. Rindu? Gila awak Nea. Belum apa-apa sudah sebut rindu.
            Ah terasa mahu bercinta semula.
            Tersentak bila telefon berbunyi. Nama Megat Zafril sudah terpamer. Cepat  aku jawab.
            “Assalamualaikum.” Suara Megat Zafril sama seperti sebelumnya. Tenang dan mendatar.
            “Waalaikumusalam.” Aku jawab bersama senyuman. Suka.
            “Nea buat apa tu?”
            Nak jawab apa? Nak beritahu aku sedang melihat gambar-gambar dia di Langkawi? Kalau aku jawab begitu soalan begini mesti menyusul. Kenapa tengok gambar abang? Jadi aku bakal jadi hipokrit sekali lagi.
            “Nea ingat nak tidur aje. Badan rasa letih sangat ni. Esok mula kerja. Ikutkan hati rasa nak sambung cuti saja. Malas betul nak kerja.”
            “Hmm, kalau malas nak kerja kahwinlah cepat. Duduk rumah saja. Habis cerita Uruskan rumah tangga.”
            Hmm, bunyi macam buat tawaran, tawaran nak jadi bibik dia. “Hmm, bilalah agaknya Nea ni boleh jadi mem macam tu.” Aku jawab sambil tarik nafas.
            “Cakap aje, bila-bila pun boleh…”
            Aku buat-buat gelak walaupun aku tidak tahu kenapa aku boleh gelak begitu. Rasa  gedik semacam, tapi dengan cara itulah aku boleh mengawal keadaan. Boleh menyembunyikan segala rasa.
            “Emm, mak abang buat apa sekarang ni? Nea tengok banyak beli barang tadi.” Aku larikan perhatian Megat Zafril dari berbicara soal yang aku tidak berapa boleh tumpang beri pendapat. Tidak mahu berbicara soal-soal yang agak peribadi kerana aku tidak mahu terus-terusan bergelumang dengan hipokrit.
            “Tengah tengok pinggan-pinggan yang mak beli tadi. Rumah ni dah penuh dengan pinggan mangkuk. Pelik betul. Memang orang perempuan suka kumpul pinggan?”
            “Tak tahulah. Mak Nea pun sama. Suka kumpul pinggan mangkuk.”
            “Nea tak suka?”
            “Belum lagi ada minat macam tu sebab tak ada rumah sendiri lagi. Nanti kalau sudah ada rumah sendiri mungkin juga kut,” jawabku jujur. Sekarang ini pinggan mangkuk belum ada dalam senarai barang yang mahu dibeli. “Susah-sudah nanti angkut pinggan mangkuk mak aje. Habis cerita.” Gelakku bermula lagi. Seperti lucu benar tapi tak lawak pun.
            “Kan, habis cerita. Rumah mak abang pun banyak. Abang pun akan angkut sama nanti.”
            Nak sambung gelak tak jadi sebab kata-kata Megat Zafril mematikan segera niat tersebut. Abang pun akan angkut sama nanti? Serius, memang aku tak faham apa maksud kata-kata Megat Zafril itu. Seolah-olah pinggan yang mahu diangkut itu bakal diletakkan di dalam rumah yang sama dengan rumah yang mahu aku letak pinggan mangkuk juga. Apa cerita sebenarnya ni?
            “Senang betul kerja kitakan? Tukang angkut saja.” Megat Zafril menokok seperti kata-katanya sebentar tadi tiada mempunyai apa-apa makna. Atau mungkinkah aku sudah tersalah dengar? Atau mungkinkah juga aku sudah tersalah tafsir maksud sebenar kata-kata Megat Zafril itu?
            “Tu le…” Aku jawab ringkas.
            “Abang gurau aje. Kita pun boleh kumpul harta sendiri. Buat apa nak kacau harta orang tua.”
            “Betul tu.” Kenapalah bercakap topik bosan ni? Aku tak nak bercerita pasal pinggan mangkuk, harta pusaka bagai. Aku mahu cerita pasal lain. Cerita yang boleh buat perasaanku jadi berbunga-bunga. Aku mahu lupa diri sekejap.
            Diam seketika. Aku cuba mencari ayat-ayat yang membolehkan kami bercakap lebih lama lagi. Dengar suara dia sudah cukup.
            “Emm, harap bila-bila kita boleh bercuti macam ni lagi.” Ujarku perlahan
            “Insya Allah, apa kata lepas ni kita pergi Sabah pulak. Kita panjat Gunung Kinabalu.”
            “Abang, agak-agaklah. Tak kan nak ajak mak-mak kita panjat Gunung Kinabalu.”
            “Siapa cakap abang nak ajak mak-mak kita pergi sama? Abang nak bawa Nea sorang saja. Merepek Nea ni nak panjat Gunung Kinabalu dengan mak-mak kita.”
            Aku gelak. Tak terbayangkan kalau mak dan Hajah Asmah ikut sama panjat Gunung Kinabalu. “Nea ingat nak buat rombongan Cik Kiah lagi.” Aku sambung gelak.
            “Lepas ni kita pergi berdua saja. Tak payah nak ajak orang tua.”
            “Nea tak ada masalah. Cuma nak berjawab dengan mereka tu aje yang jadi masalahnya. Kalau nak ikut abang, Nea tak kisah. Sebab Nea tahu abang lelaki yang boleh dipercayai. Cuma tulah, tak kan nak cakap kita keluar berdua. Karang tak pasal-pasal kita diijab kabulkan.” Aku gelak lagi.
            “Apa salahnya kalau kita diijab kabulkan. Abang tak kisah.”
            Mendatar saja suara Megat Zafril. Bagai ada yang tidak kena. Dia sudah mula jatuh cintakah? Pertemuan singkat ini sudah menerbitkan bunga-bunga cinta di hati lelaki Megat Zafril? Dan aku perlu beritahu yang aku ada rasa sedikit suka kepadanya? Jangan Nea. Belum masanya. Mana boleh cakap apa-apa lagi.
            “Kalau ada jodoh kita, tentu tak ke mana bang. Sementara tu kita kawan dulu.” Aku menyedapkan hati Megat Zafril. Mahu dia menaruh harapan juga.
            “Ya betul tu. Kita perlukan masa untuk sesuaikan diri. Kenal hati budi masing-masing dan juga kekurangan serta kelemahan kita.”
            “Banyak masa lagi bang, insya Allah.”
            “Emm, betul. Okeylah Nea. Abang pun nak masuk tidur ni. Esok nak mulakan kerja.”
            “Abang, sekejap.”
            “Ya…”
            “Tempat kerja abang tu ramai pekerja perempuan tak?”
            “Ada juga, tapi bahagian ofis pengurusan sajalah. Yang ramai pekerja lelaki saja, maklum syarikat penghantaraan. Nea jangan bimbanglah. Ofis abang ni semua pekerja lelaki.” Megat Zafril gelak perlahan.
            Ah! Kenapa aku boleh tanya soalan macam tu? Tak logiknya soalan. Nanti dia ingat apa pulak. Alahai…
            “Hmm, okey abang. Nanti kita sambung lagi. Selamat malam. Assalamualaikum.” Cepat aku bagi salam. Tak mahu salah cakap lagi. Nanti lagi panjang cerita. Cukuplah tersasul sekali.
            “Okey Nea, selamat malam. Mimpi indah tau. Waalaikumusalam.”
            Aku tutup telefon bimbit. Fikiran juga terasa mati. Tak boleh fikir apa-apa. Bimbang betul kalau Megat Zafril dapat meneka maksud yang tersurat. Maka betullah, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.
            

Friday 27 July 2012

DIA PILIHAN HATI bab 4


SELESAI bersarapan, kami buat acara masing-masing. Kaum ibu bapa dengan sebuah kereta. Dan kami dengan sebuah lagi kereta. Acara kami berbeza.
            “Abang nak ke mana?” soalku ketika Megat Zafril sudah memandu.
            “Abang ikut Nea. Abang tukang pandu kereta saja.”
            “Mana boleh macam tu. Mana boleh jadi tukang saja. Kenalah juga fikirkan apa yang abang nak buat. Abang jangan terlalu ikut cakap perempuan. Tak baik. Abang kena bertegas.”
            “Cakap perempuan mana lagi abang nak ikut. Abang mana ada kawan perempuan.”
            “Nea cakap masa akan datang. Mana tahu jumpa perempuan yang buat abang berkenan.”
            “Siapalah yang nak kan abang ni.”
            Eh mamat ni. Main drama pulak. Aku cuma nak ajar dia saja jangan jadi lelaki lembik, yang tahu ikut cakap perempuan saja. Dia pulak fahamkan benda lain.
            “Suka hati abanglah. Nea cakap benda yang betul.”
            “Terima kasih ingatkan abang. Hmm, jadinya abang buat keputusanlah. Kita naik kereta kabel dulu, kemudian kita melawat makam mahsuri. Boleh?” Dia senyum sambil jeling sekali.
            “Macam tulah.” Senang dengan keputusan Megat Zafril, jadi aku tiada bantahan. Nampaknya dia juga selesa. Senyuman yang terukir di bibirnya sudah menjelaskan keadaan. Emm, rasanya kami boleh berkawan.
            “Abang,”
            “Emm…”
            Aku suka dengar sebutan emm itu. Sangat lembut dan mendalam. Ada keistimewan yang tersendiri. Aku tepuk dahi. Sekejapnya aku lupa apa yang aku mahu tanyakan. Ah! Hilang ingatan sekejap.
            Megat Zafril terus memandu. Langsung tak cakap apa-apa. Aku pula berusaha untuk ingat semula soalan yang mahu aku tanyakan. Dan aku teringat kembali.
            “Abang…”
            “Emm.”
            Ah, sukanya dengar dia sebut emm itu. “Sepupu abang tu cantik?” Itulah soalan yang mahu aku ajukan.
            “Sepuluh kali cantik Nea. Dia gelap.” Cepat Megat Zafril beri jawapan. Langsung tak fikir terlebih dahulu. Secara logiknya aku tahu, Megat Zafril marah. Tidak suka aku bertanyakan tentang sepupunya. Jadi aku fikir, tak perlulah aku tanya lebih-lebih walaupun aku mahu benar bertanya lagi soalan. Dia suka ke dengan sepupunya itu. Kalau suka, jenis suka yang bagaimana. Tapi jawapan Megat Zafril tadi sudah mematikan semangatku untuk bertanya lagi.
            “Sebenarnya abang tak setuju dengan rancangan mak abang tu. Banyak masalah nanti. Karang kalau apa-apa terjadi, lagi susah sebab melibatkan hubungan saudara mara. Tapi mak abang degil. Nak jugak. Sudahnya kena tolak. Baru kena tolak pun dah masam muka. Lama jugaklah tak bercakap dengan mak ngah abang tu.” Megat Zafril bercerita.
            “Habis abang suka dengan sepupu abang tu?”
            “Hisy, merepek Nea ni. Sepupu kan. Nak suka apa lagi.”
            Satu lagi aku suka Megat Zafril sebut hisy, merepek Nea ni. Sudah jadi tagline dia pulak. Ah! Kenapa banyak benar perkara yang aku suka tentang Megat Zafril ini?
            “Gadis lain tak ada?”
            “Mana ada. Kalau ada taklah kalut Hajah Asmah tu buat benda ni. Siap bawa kita pergi bercuti ke Langkawi lagi. Kebetulan pulak mak Nea pua sama nak carikan Nea jodoh, ibarat pucuk dicita ulam yang datang. Tinggal kita saja yang susah nak serasi.” Suara Megat Zafril mendatar.
            “Tapi kita okey. Tak adalah nak gaduh-gaduh ke. Nak marah-marah ke.”
            “Kita sudah berusia. Bukan budak-budak lagi nak buat perangai macam tu. Berkawan aje baik-baik. Kalau sudah tertulis, kita tak ada jodoh, buat macam mana pun, jodoh tu tetap tak ada.”
            Aku senyum. Puas hati dengan jawapan Megat Zafril. Betul tu. Kami masing-masing sudah dewasa. Kenapa harus buat perangai tidak matang sedangkan bukanlah perkara terlalu besar. Sekadar memenuhi kehendak orang tua sahaja. Apa salahnya menggembirakan hati mereka.

Hampir seharian kami menghabiskan masa bersama. Pulang pun sudah masuk waktu maghrib. Hari ini rasa sangat gembira kerana dapat menghabiskan masa bersiar-siar tanpa bersama kaum ibu bapa.
            Hmm, tak sangka Megat Zafril tidaklah sebosan mana. Dia pandai bawa diri dan sentiasa mengawal tingkah laku. Langsung tidak tunjukkan sifat-sifat yang tidak menyenangkan.
            “Penatnya…” Aku lambung badan atas katil. Pejam mata dan bayangkan keseronokkan yang aku lalui sepanjang hari ini. Dari menikmati rasa gementar ketika menaiki kereta kabel di Gunung Mat Chinchang sehinggalah singgah di Makam Mahsuri. Menikmati makanan yang enak di Pulau Langkawi yang jarang-jarang aku jumpa di KL.
            “Seronok?” Mak tanya.
            “Seronok.” Aku jawab sepatah.
            “Mana tak seronok. Sehari suntuk merayap. Itu yang Nea suka bukan?” Mak cakap lagi. Masa tu Hajah Asmah tiada di dalam bilik. Dia keluar sebaik saja aku masuk bilik tadi. Mungkin sedang menyiasat sesuatu daripada Megat Zafril.
            “Jadi macam mana?” Mak tanya pula.
            “Macam mana apa?”
            “Zafril, okey tak?”
            “Okey. Taklah macam lelaki gatal. Tak ada pulak dia nak meraba-raba.” Aku jawab, kalau itu yang mak nak tahu.
            “Hisy, budak ini. Tak kanlah Zafril berani buat macam tu. Mak tahu siapa dia. Yang mak maksudkan, suka ke tidak?” Mak baling tudung mak ke arahku. Geram agaknya mendengar jawapanku. Aku sambut gelak.
            “Mak bagi masa lagi boleh tak? Mana boleh ada perasaan suka dalam waktu yang singkat. Perasaan suka mana boleh paksa-paksa.”
            “Jadi Megat Zafril ada peluang?”
            “Dia seorang lelaki yang baik, mak. Rugi kalau lepaskan lelaki sebaik dia, tetapi mestilah ada perasaan suka dan ikhlas untuk terima dia. Sesuatu hubungan tu mestilah didahului dengan rasa kasih dan sayang. Mak kena faham tu.” Aku duduk. Tocang rambut tinggi.
            “Nea faham maksud mak dan Hajah Asmah ikhlas untuk menyatukan kami. Tetapi biarlah kami yang putuskan nanti.” Aku capai tuala. Nak mandi. Mak langsung tidak bersuara, seperti jauh hati jadi aku peluk mak erat sebab nak dekatkan semula hati mak.
            “Mak jangan bimbang. Kalau ada jodoh Nea, pasti tak ke mana.” Aku cium pula pipi mak. Sayang mak. Aku tahu mak hanya lakukan yang terbaik untukku.
            “Tapi Zafril memang lelaki yang baik,” kata mak sambil pegang pipiku.
            “Memang dia seorang lelaki yang baik, tapi baik dan sayang tu dua makna yang sangat jauh mak.”
            “Mak faham.”
            Aku rasa sedikit lega. Kalau aku gagal menggembirakan emak, setidak-tidak aku dapat melegakan hati emak. “Mak jangan risau ya. Mak doakan, semoga pintu hati Nea terbuka untuk terima Abang Zafril.
            “Maafkan mak sebab libatkan Nea dalam masalah ni. Mak tahu mak seperti terlalu mendesak Nea sehingga Nea tak ada pilihan. Mak langsung tak fikirkan perasaan Nea.” Suara mak perlahan. Meruntun jiwaku jadinya.
            “Mak, jangan cakap macam tu. Sedih Nea. Nea tahu mak mahukan yang terbaik sahaja buat Nea. Mak janganlah fikir apa-apa.” Semakin kemas aku peluk emak. Kalau dengan cara itu akan memulihkan perasaan emak, aku akan peluk emak sampai bila-bila.
            Emak seperti membiarkan sahaja aku peluk dengar erat. Sudah terbiasa begitu. Emak memang suka dipujuk cara begitu.
            Hajah Asmah muncul tiba-tiba. “Hmm, beruntungnya orang ada anak perempuan,” kata Hajah Asmah sambil senyum pandang kami berdua.
            “Yang ini saja macam ni. Maklum tak pernah berenggang dengan kita dari kecik,” jawab mak. Aku lepaskan pelukan. Mahu mandi. Sekilas aku jeling Hajah Asmah. Ada tanda-tanda ceria. Mesti ada khabar berita yang gembira.
            “Err, malam ni Nea tak nak makan apa-apa. Satu hari Abang Zafril belanja makan. Perut Nea dah penuh. Cuma Nea nak ajak  Abang Zafril karaoke malam ni.” Aku cakap masa tolak pintu bilik air. Sebenarnya aku tak cakap apa-apa pun pasal karaoke pada Megat Zafril. Aku memandai sendiri.
            “Rosak anak hajah kalau berkawan dengan anak kita,” kata mak pula.
            “Tak mengapa, asal mereka suka, suka hatilah nak buat apa.” Ada nada gembira pada suara Hajah Asmah. Harap kedua-dua emak itu akan gembira dan pastinya aku akan rasa gembira sama.

Wednesday 25 July 2012

DIA PILIHAN HATI bab 3


Selesai solat maghrib, aku lambung badan atas katil bagi memberi ruang buat emak dan Hajah Asmah solat pula. Sebentar nanti ada acara makan-makan bertemakan kekeluargaan. Rasanya aku malas turut serta sebab aku tidak mahu campur dengan orang-orang tua. Karang depan-depan aku kena soal. Susah nak jawab.
            “Hmm, apa pendapat Nea tentang Megat Zafril, dia okey?” soal Hajah Asmah sambil lipat kain solat dan letak atas katil sebelah. Aku pandang emak yang sedang tambah bedak ke muka sebaik sahaja selesai solat. Emak jeling tajam. Tandanya mahu aku cakap benda yang elok-elok.
            “Err…Nak Nea cakap jujur atau cakap tipu?’ soalku pula.
            “Yang jujur dan ikhlas.”
            Aku pandang lagi emak. Muka emak masih begitu. Kemudian pandangan tertumpah pada wajah Hajah Asmah. Serba salah, itu saja perkataan paling sesuai untuk mewakili keseluruhan perasaanku ketika ini. Tapi seperti kata Megat Zafril, tak perlu bermuka-muka kalau sekadar hendak menjaga hati.
            “Jujur Nea cakap Abang Zafril seorang lelaki yang sangat membosankan. Sepatah Nea cakap, sepatah jugaklah Abang  Zafril jawab. Bosanlah.”
            Jelas wajah Hajah Asmah menampakkan perubahan yang sangat besar. Merudum terus. Hilang wajah cerianya. Terbit rasa bersalah di benakku. Keterlaluan benarkah kata-kataku? Tadi Hajah Asmah sendiri mahu aku berikan jawapan, bila sudah jawab lain pulak kisahnya. Ah! Susahlah kalau begini. Hati orang tua memang mudah tergores. Tak boleh silap sikit.
            “Zafril tu memang jenis macam tu. Tak banyak cakap. Tapi dia baik. Tak suka berkawan dengan perempuan.” Hajah Asmah nampaknya masih tidak mahu mengalah. Nada percakapan juga seperti tidak puas hati.
            “Betul, Nea fikir pun rasa Abang  Zafril macam tu, tapi dia agak membosankan. Mak cik tahukan, Nea ni suka bercakap. Nea suka berjalan ke sana sini. Abang  Zafril pulak, ajak pergi sana tak nak. Pergi situ tak nak. Memang bosanlah. Asyik duduk aje…” Hebat aku malam ini jadi tukang karut. Habis Megat Zafril kena jual. Tetapi kenapa hatiku pula yang terasa sakit bila meluahkan kata begitu? Sedangkan aku tahu Megat Zafril tidaklah seburuk itu.
            Hajah Asmah cepat-cepat sarung tudung. Kemudian kenakan sedikit gincu di bibirnya. “Err, kita tunggu kat bawahlah,” kata Hajah Asmah tiba-tiba. Seperti tergesa-gesa hendak tinggalkan bilik. Dan aku tahu Hajah Asmah sedang merajuk. Buruknya perangaiku.
            “Pergilah dulu. Nanti kami turun,” balas emak. Aku pandang saja langkah Hajah Asmah yang menuju pintu. Sebaik sahaja Hajah Asmah keluar, emak terus tolak kepalaku.
            “Tak boleh nak cakap elok sikit?” soal emak.
            “Habis, Hajah Asmah sendiri yang tanya. Nea jawablah. Dah jawab, marah pulak.”
            “Yalah, tak boleh nak menipu sikit-sikit?”
            “Tak kanlah nak tipu kalau dah perangai anak dia macam tu.”
            “Nea ni memang tak pandai nak jaga hati orang langsung. Kalau tak suka sekalipun, tak boleh nak cakap elok-elok. Mak tak kira, Nea suka atau pun tidak, Megat Zafril tetap akan jadi menantu mak. Mak berkenan dengan dia. Baik budaknya dan berbudi bahasa. Mak mahu waktu kita di sini, Nea cuba untuk sukakan dia.”
            “Bukannya Nea tak suka, tapi dia tak sesuai dengan Nea. Tak serasi macam mana nak jadi suami Nea.”
            “Nea jangan banyak ceritalah. Macam Nea tu bagus sangat!” Mak atur langkah menuju pintu. Tahu emak sedang marah tapi sesungguhnya aku lebih marah lagi. Mana boleh paksa untuk sukakan seseorang. Itu soal perasaan. Mana boleh main-main dengan perasaan sendiri.
            “Cepat siap,” arah emak sebelum tinggalkan bilik. Nak tak nak Aku terpaksa menurut. Sarung tudung dan bergerak tinggalkan bilik.

Waktu aku sampai di kawasan tempat letak kereta, aku nampak Megat Zafril sedang menunggu di situ. “Tunggu Nea?” soalku.
            “Hmm,” jawab Megat Zafril. Dia pandang aku tepat.
            “Muka macam baru kena marah aje.” Cuba bersoloroh dengan Megat Zafril. Jelas kelihatan wajahnya seperti orang baru ke marah.
            “Tau tak apa!” jawab Megat Zafril.
            “Hmm, dah agak.”
            “Masak abang macam ni.” Megat Zafril seperti merungut dan aku terus gelak. “Ada ke patut esok paksa abang bawa Nea jalan-jalan sebab Nea cakap abang membosankan,” kata Megat Zafril lagi.
            “Sorrylah. Sebab sudah menyusahkan abang.” Betul-betul rasa serba salah ketika itu. Melihat wajah Megat Zafril yang agak muram, aku tahu dia benar-benar kena marah dengan Hajah Asmah.
            “Abang pun minta maaf sebab melibatkan Nea dalam hal ni. Abang tahu semua ni rancangan mak abang. Kalau tidak tak jadi macam ni.”
            “Terdesak sangat ke mak abang nak bermenantu sampai aturkan rancangan macam ni?” Kami sama-sama melangkah sambil berbual menuju restoren yang tidak jauh dari penginapan kami.  
            “Mak abang sebenarnya malu sebab mak ada pinang sepupu abang. Tapi kena tolak. Sebab nak tutup malu tu, mak cuba kenenkan abang dengan Nea.”
            Ada cerita disebalik cerita rupanya.
            “Yalah, siapalah yang nak abang yang kerja biasa-biasa aje ni. Sebelah mata pun orang tak pandang.”
            Macam sindir aku saja. Sebab aku pun sudah tolak dia awal-awal lagi. Tapi bukan aku memandang akan paras rupa atau pangkat Megat Zafril tetapi mana boleh aku kata aku suka kalau perkataan suka itu memang benar-benar tidak ada. “Abang jangan cakap macam tu. Nea tak fikir pun apa-apa pun. Cuma Nea belum bersedia untuk ada komitmen dalam rumah tangga. Itu aje.”
            “Abang pun tak cakap Nea. Abang cakap sepupu abang tu.”
            “Tapi cara abang bercakap buat Nea terasa sama.”
            “Lah, janganlah terasa.”
            Manalah aku tak terasa kalau cakap jenis tala kepada semua. Sedangkan yang ada di situ hanya aku dan dia sahaja. Jadinya memang sah dia sindir aku.
            “Memanglah terasa.” Aku jawab selamba.
“Janganlah macam tu. Gadis muka cantik mana boleh mudah terasa. Nanti turun harga.” Megat Zafril gelak sekali. Seperti mahu mengambil semula hatiku. Aku senyum tawar sebagai tandaku terima gurauannya. Gadis muka cantik? Betul ke?
            “Hmm, baru sampai?” soal Haji Megat Bakri. Serius saja bunyinya. Aku pilih duduk sebelah mak dan Megat Zafril pilih duduk bersebelahan Haji Megat Bakri dan Hajah Asmah.
            “Dah buat pesanan?” soal Megat Zafril.
            “Sudah, tinggal air korang berdua saja,” balas Hajah Asmah. Kemudian mereka berbual sesama mereka. Tinggal aku dan Megat Zafril yang terpaksa melayan perasaan sendiri-sendiri. Bosan amat. Kenapalah boleh terlibat dengan keadaan seperti ini.
            Aku pandang Megat Zafril. Dia senyum tawar. Rasanya kalau boleh lari, sudah lama dia lari dan aku tidak teragak-agak untuk lari sama dengannya. Biarlah, dari terpaksa dengar orang tua berbual lebih baik lari saja.
            Haji Megat Bakri melaung seorang pekerja restoren. “Nea nak minum air apa?” soal Haji Megat Bakri.
            “ABC.” Terus aku jawab.
            “Nea tu semput. Mana boleh minum air sejuk malam-malam macam ni. Sudahlah di sini angin kuat.” Mak bantah. “Bagi  MILO panas.” Seperti selalu emak buat keputusan untukku. Terkebil aku pandang budak pelayan berlalu pergi.
            Suasana kembali seperti biasa selepas itu. Aku pula sambung dengan rasa bosan. Megat Zafril kelihatan sama. Seketika kami lawan tentang mata. Dia senyum aku balas, macam tu saja buat beberapa ketika. Dan akhirnya baru aku perasan, Hajah Asmah sedang perhatikan kami. Wajah Hajah Asmah agak masam waktu aku pandang wajahnya. Aku sekadar senyum namun senyumanku dibalas dengan senyuman yang agak menakutkan. Hmm, fikir dua tiga kali jugak nak buat mak mertua ni. Mesti garang.
            “Esok anak kita ni nak ajak Nea jalan-jalan, boleh tak hajah?” Hajah Asmah bersuara tiba-tiba. Puas sudah agaknya melihat aku dan Zafril begini.
            “Eh, boleh aje. Kita tak kisah.” Mak beri jawapan cepat. Sah konspirasi terancang. Aku tak terkejut sangat dengan keizinan mak tu. Memang lampu hijau akan menyala terus terusan.
            “Hmm, ke mana nak berjalannya. Si Nea ni kuat berjalan. Karang buat penat Zafril saja. Jangan ikutkan sangat kepala Nea ni.” Ayah menyampuk. Rasanya ayah masih kurang jelas dengan keadaan sebenar jadi ayah nampak sedikit blur. Atau mak tidak perjelaskan dengan terperinci tentang niat murni emak hendak mengenenkan aku dengan Megat Zafril? Ayah memang selalu begitu. Bak kata kak long, ayah selalu salah naik bas. Nak gelak aku jadinya dengan sikap kurang mengambil tahu ayah itu.
            “Tak adalah haji, dah datang sini tak kan nak memerap kat bilik saja. Apa guna bercuti. Nak jalan-jalan dengan kita sah tak sesuai dengan jiwa mereka. Kita biarkan ajelah mereka dengan hal mereka.” Hajah Asmah masih berusaha.
            Aku pandang Megat Zafril. Wajahnya beriak bosan. Nampaknya bukan saja lagi aku yang jadi mangsa, Megat Zafril juga terlibat sama.
            “Hmm, yang kita pesan sudah sampai,” kata Haji Megat Bakri sebaik sahaja pesanan yang mereka minta dihidangkan. Pergh, takut aku tengok. Siap ikan bakar, udang bakar, kerang bakar, ada tom yam, ada sayur campur. Memang makan besar malam ni.
            “Hmm, apa lagi. Jemput makan,” kata Haji Megat Bakri. Maknanya semua ni atas tajaan Haji Megat Bakri.
            Megat Zafril baca doa makan sebelum tu, aku tumpang aminkan. Masa dia baca doa, aku pandang wajah dia. Masih tenang tapi tetap wajah bermasalah. Kesian dia. Aku faham, aku mengerti keadaan Megat Zafril. Aku lebih merasakan, tetapi apa daya kami hendak mengelak. Karang memberontak, kata kami anak derhaka. Paling teruk kalau emak luahkan kata-kata yang kurang enak. Jadi hendak atau tidak, inilah saja pilihan yang kami ada. Pasrah.
            “Budak Nea kalau makan udang, macam inilah caranya. Nak kita buangkan kulitnya baru nak makan.” Emak bercakap sambil buang kulit udang. Beberapa ekor udang yang sudah emak buang kulit, emak letak dalam pingganku.
            “Siapa yang ajar? Sejak kecik diajar macam tu, sampai ke tualah dia buat perangai.”Ayah mencelah. Aku buat tak dengar. Emak memang begitu, jadi bagaimana aku mahu lakukan sendiri.
            Aku sambung makan. Kemudian aku ambilkan emak ikan. Pastikan isi tanpa ada sebarang tulang. Aku tahu penglihatan emak sudah kurang jelas bila waktu malam. Tanpa sedar perbuatan kami diperhatikan. Biasalah, aku anak emak. Apa-apa hal aku semua dengan emak. Duit gaji aku juga emak yang pegang. Cuma dalam bab mengenenkan aku saja, aku rasa nak jadi anak emak orang lain.
            Acara makan berlangsung dengan senyap. Berbual pun di kalangan orang tua saja. Itupun sesekali.
            “Apa mak ni.” Tiba-tiba Megat Zafril bersuara. Aku angkat muka. Nampak seperti Hajah Asmah cubit perut Megat Zafril. Apa lagi tu. Apa lagi yang tak kena? Ada-ada saja. Kesian kawan tu nak makan pun tak selesa.
            Hajah Asmah sambung makan lepas tu dan aku masih pandang Megat Zafril. Dia juga pandang aku. Aku angkat kening, sebagai tanda aku tanya apa yang tidak kena. Megat Zafril geleng sebagai tanda jawapan. Tak sangka faham juga dengan soalanku.
            Waktu aku nak ambil kuah tom yam, Megat Zafril letak 3 ekor udang dalam pingganku. Terkejut aku. Terus pandang wajah Megat Zafril. Wajah tenang itu tetap tidak beriak. Hmm, tadi kena cubit tu suruh buangkan kulit udang ke? Ya Allah, kesiannya dia.
            “Terima kasih.” Aku cakap perlahan.
            “Zafril memang macam ni. Rajin tolong buang kulit udang,” kata Hajah Asmah. Nak rasanya aku tepuk dahi. Masalah betul dengan orang tua seorang ini. Sampai begitu sekali menjaja anak.
            “Hmm, sesuai sangatlah dengan Nea yang pemalas tu.” Ayah tak sudah lagi. Aku sambut dengan senyum. Tuang kuah tomyam ke dalam mangkuk kecil dan serahkan kepada ayah. Sayang ayah, cuma dengan ayah aku tak berapa ngam. Ayah tak boleh jadi geng sebab ayah berjiwa pembangkang.
            Selesai acara makan, acara lepak pula. Tepi pantai jadi pilihan. Kelihatan ramai yang sedang berpesta di tepian pantai. Pelbagai bangsa. Mak tetap dengan Hajah Asmah. Ayah dengan Haji Megat Bakri. Aku? Aku dengan bosan. Mujur ada telefon bimbit. Bolehlah aku berbual dengan Linda.
            “Boring?” Linda gelak dengan kuat. Macamlah perkataan boring itu sangat melucukan.
            “Eh, kau keluar sekali dengan geng orang tua. Barulah kau tahu macam mana rasanya.”
            “Habis cik abang tu mana?’
            “Cik abang mana?”
            “Ala, suami masa depan tulah.”
            “Suami masa depan?” Aku masih tidak faham. Kemudian aku perasankan Megat Zafril pandang aku. Itukah suami masa depanku? Aduhai, lagilah aku tak rela. Susah nak cakap.
            “Hmm…” Itu saja aku boleh cakap. Lebih-lebih tak boleh. Bimbang bakal mencederakan hati dan perasaan Megat Zafril. Dia juga ada perasaan yang perlu aku jaga.
            “Kenapa? Teruk sangat ke?”
            “Dia pun macam tak suka aku saja. Macam kena paksa saja.” Itulah yang aku rasa sekarang ini. Dia seperti kurang berminat dengan rancangan kedua ibu bapa kami. Siapalah yang suka kalau sudah dipaksa-paksa. Mana boleh kena dengan jiwa.
            “Nak buat macam mana. Nasib kaulah.”
            “Memang nasib akulah.”
            “Eh, kau telefon aku nanti. Aku nak keluar makan dengan Raiyan. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”
            Ah! Sambung bosan lagi. Aku tarik nafas panjang. Tak tahu nak buat apa. “Mak, Nea masuk biliklah.” Akhirnya aku ambil keputusan.
            “Amboi, tak kan nak tidur. Awal lagi. Selalu kalau tak tengah malam tak tidur.” Mak perli.
            Aku terus atur langkah tanpa pedulikan emak. Megat Zafril ekori dari belakang.
            “Hmm, bosankan?” Dia cakap waktu kami menaiki tangga.
            “Bosan sebab terikat dengan mereka. Kalau kita saja mesti tak bosan.” Aku sedapkan hati Megat Zafril. Tidak mahu dia terasa apa-apa.  
            “Tak maksud abang, abang memang seorang yang membosankan.”
            Aku senyum saja. Tak kan nak menipu pula. Mustahil juga aku mahu berterus terang yang dia itu memang membosankan. Dua-dua jawapan tak kena.
            “Abang tahu, abang memang membosankan.” Ada nada merajuk di situ dan aku semakin serba salah.
            “Mungkin kita masih belum biasa. Kalau kita dah biasa, mungkin tak ada masalah.” Aku pujuk lagi. Tak baik calarkan perasaan orang. Tu namanya bajet bagus. Macamlah aku ni sempurna benar.
            Megat Zafril diam. Mungkin masih tidak terpujuk.
            “Abang…” Aku panggil Megat Zafril.
            “Emm.” Dia pandang aku.
            “Kita pergi rumah urut,”
            “Hisy, merepek Nea ni. Nak kena sembelih dengan mak abang?”
            Aku gelak dengan kuat. Kemudian aku tampar bahunya. “Nea salah cakap sebenarnya.” Aku sudah tidak tahan melihat riak wajah Megat Zafril yang berubah tiba-tiba. Terus sambung gelak. “Sebenarnya Nea nak abang temankan Nea pergi urut badan.” Aku betulkan ayat.
            Baru aku nampak dia senyum selepas pucat tadi. Takut betul dia dengan rumah urut. Yalah, takkanlah anak mak aji buat perangai pelik macam tu.
            “Betul ke Nea nak pergi urut badan?” soal Megat Zafril kemudiannya.
            “Err…” Tak adil pulak nanti. Pasti berjam pula dia kena tunggu. Kesian dia. “Emm, apa kata kalau kita pergi makan ais krim?” Itu cadanganku.
            “Abang ikut aje.”
            “Ini yang Nea suka. Tak ada bantahan langsung.” Aku turun tangga semula. Tak jadi tidur. Selepas ni kami boleh makan ais krim. Mungkin perasaan akan lebih nyaman dan sejuk. Harap begitulah.