Sunday 29 July 2012

DIA PILIHAN HATI BAB 5


MASA untuk berpisah. 3 hari 2 malam kami di Langkawi. Tanpa aku sedar banyak kenangan manis yang tercipta  terutama antara aku dan Megat Zafril. Walaupun berat untuk aku mengaku itulah kenangan manis yang terindah, namun hakikatnya aku tidak boleh menafikan kebenaran. Bersama Megat Zafril dan mencipta jejak-jejak manis adalah sesuatu di luar kotak pemikiranku. Sangkaku ianya bagai mimpi buruk tetapi yang muncul adalah sesuatu yang penuh dengan warna warni. Rasanya misi emak dan Hajah Asmah  menampakkan sedikit kejayaan. Aku dan Megat Zafril semakin mesra. Sehingga tiba di Jeti Kuah, kami masih bersama. Berbual dan bercerita tentang apa saja. Sungguh ajaib rupanya hubungan manusia ini.
            “Nea suka dengan percutian ni?” soal Megat Zafril perlahan ketika kami sama-sama menantikan feri tiba untuk membawa kami semula ke Kuala Kedah. Ketika itu keadaan jeti masih sesak dengan penumpang lain yang sama-sama menantikan feri. Riuh rendah seperti tidak terasa kerana aku seakan sudah tercampak ke daerah yang paling tenang yang sebelum ini aku tidak tahu akan ujudnya daerah tenang itu.
            “Hmm, gembira sebab dapat kenal abang,” balasku. Kami berdua memilih untuk berdiri di dinding kaca yang menampak sebahagian laut. Ingin mengasingkan diri dari pandangan kedua ibu  bapa kami . Yang jelasnya aku tidak mahu menampakkan mesra di mata mereka. Orang kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, inilah akibatnya. Kenapalah hari tu aku jadi terlalu sombong. Sombong untuk menerima Megat Zafril seadanya dan langsung tidak berlapik kata pada emak. Apakah ini balasan dari Tuhan kerana keterlanjuran bicaraku? Nampaknya aku sudah dapat cash  terus.
            “Abang pun gembira dapat kenal Nea.”
            Aku betulkan topi Megat Zafril yang agak menutup mata. Tak dapat melihat matanya. Selain senyuman, aku suka melihat mata Megat Zafril. Cantik dan tedup. Megat Zafril senyum. Ah…Susah hati aku jadinya.
            “Kita kawan,” kata Megat Zafril lagi.
            “Emm, kawan.” Aku angguk sambil pandang anak matanya yang nampak ikhlas. Redup dan tenang seperti menggambarkan hatinya yang juga tenang dan damai. Selama ini, aku belum pernah bertemu seorang lelaki seperti Megat Zafril. Rata-rata lelaki yang aku temui, belum ada membuatkan aku rasa selesa dan selamat termasuklah lelaki seorang itu. Lelaki yang telah membuatkan hatiku luka dan parah. Rasa sakitnya masih terasa sehingga membutakan mata hatiku untuk menerima lelaki lain. Namun kali ini seperti, mata hati mula terbuka untuk melihat semula lelaki yang ada di  hadapan mataku ketika ini.
            “Tapi boleh tak kawan jadi kekasih?” Waktu bertanyakan soalan itu, Megat Zafril pandang tempat lain. Mungkin soalan itu jenis soalan berat. Dia mungkin tidak mahu melihat wajahku kerana tidak mahu melihat jawapan kecewa yang dipamerkan pada wajahku.
            Aku tarik nafas panjang. Mencari jawapan yang boleh membuatkan Megat Zafril rasa selesa dan tidak terasa apa-apa. Dia tidak bersalah dan tidak perlu terhukum dengan keadaan yang menimpa aku sekarang.
            “Selalunya memang begitu. Dari kawan jadi kekasih. Yang susahnya dari kekasih menjadi kawan.” Aku tarik nafas lagi. Hakikat memang begitu. Jarang dari kekasih menjadi kawan. Sebahagiannya akan menjadi musuh selama-lamanya. Seperti tiada langsung kebaikkan semasa bersama.
            “Harap kita tidak akan menjadi musuh selepas ni. Kalau ada yang tidak puas hati berterus terang saja. Abang tidak mahu Nea rasa tertekan ketika berkawan dengan abang. Abang mengaku, dalam berkawan abang agak kolot. Banyak benda yang abang tak tahu.” Sekilas Megat Zafril jeling aku semula. Aku balas dengan senyuman nipis. Hati berkocak perlahan. Setiap kali Megat Zafril menjeling, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
            Aku senyum lagi. Anak emak memang begitu. Semuanya terbatas. Pergaulan sudah tentu terhad. Sebab itu anak emak semuanya serba tidak tahu. Semua emak yang uruskan. Nea, kalau awak pilih dia, nanti semua awak jugak yang kena uruskan. Nampak pada zahir lelaki seorang ini tidak tahu apa-apa. Rasanya tali kasut pun awak yang kena ikat, Nea. Sanggup ke tanggung risiko macam tu seumur hidup? Satu lagi, kalau pilih dia, awak tetap jadi nombor 2 untuk selamanya. Emak dia tetap nombor 1 sampai bila-bila. Ah! Kenapa jauh benar fikiran melayang?
            “Taklah. Abang biasa saja. Okey aje. Apa yang kolotnya?” soalku bersahaja.  
            “Janganlah nak sedapkan hati abang. Abang tahu kekurangan abang. Tak pandai nak berkawan.” Megat Zafril mengeluh selepas itu.
            “Tak adalah. Nea suka berkawan dengan abang. Nea ikhlas cakap ni. Tak ada kes nak sedapkan hati abang. Abang pun tahu bukan, Nea seorang yang suka berterus terang. Kalau Nea tak suka, Nea cakap tak suka. Nea tak suka simpan-simpan. Sebab itu kalau abang mahu terus jadi kawan Nea, abang kena tahan. Nea suka cakap lepas. Kalau abang nak cakap Nea kurang ajar pun Nea tak kisah.” Aku berterus terang dengan sikap sebenarku.
            “Itu yang abang suka. Tak suka dengan orang yang hipokrit ni.”
            Aku senyum lagi. Sebenarnya aku lebih hipokrit sekarang ini. Banyak yang aku sembunyikan, tetapi aku sekadar mahu menjaga hati saja. Mahu semua berada dalam keadaan yang menyenangkan.
            “Jangan jadi hipokrit semata-mata mahu menjaga hati orang,” kata Megat Zafril lagi. Dan aku mula rasa terpanggang. Senyumanku jadi tawar. Perasaan juga. Ya, kenapa harus jadi hipokrit semata-mata mahu menjaga hati orang lain? Dan kenapa harus jadi hipokrit semata-mata mahu rahsiakan perasaan sendiri? Kalau hati kata sudah suka, kenapa tidak boleh berterus terang saja? Kenapa masih nak menipu?
            Ah! Persoalannya sekarang ini, aku sudah terlanjur bercakap tidak serasi. Mana boleh kejap ini nak luahkan isi hati.

BARU beberapa jam berpisah, aku sudah mula terkenangkan Megat Zafril. Terasa seperti dia ada di sini sebagaimana dia menemaniku sepanjang berada di Langkawi. Aneh tentang lelaki seorang ini. Dia sangat biasa. Terlalu biasa. Penampilan sederhana tetapi di mataku nampak seperti sempuna.
            Apa sudah jadi Nea? Kenapa boleh bawa perasaan begitu sampai ke rumah? Mulut mati-mati cakap tidak serasi tetapi kenapa sangat berkesan di hati? Mustahil kalau Megat Zafril guna ubat pengasih. Tetapi perasaan rasa sangat lain. Terkenang-kenang. Tutur bicaranya yang sopan dan tersusun. Senyumannya yang manis dan sentiasa mahu melihatnya. Jangan jadi hipokrit Nea. Ingat Megat Zafril kata jangan jadi hipokrit. Dia tidak suka orang begitu. Dia silap. Sebenarnya dalam soal perasaan, kadang kala perlu jadi hipokrit.
            Aku lihat semula gambar-gambar yang tersimpan di dalam telefon bimbitku. 90 peratus adalah gambar Megat Zafril. Senang pula wajah-wajahnya diambil. Senyum, jeling, aksi nakal, semuanya seperti mengundang rasa rindukku. Rindu? Gila awak Nea. Belum apa-apa sudah sebut rindu.
            Ah terasa mahu bercinta semula.
            Tersentak bila telefon berbunyi. Nama Megat Zafril sudah terpamer. Cepat  aku jawab.
            “Assalamualaikum.” Suara Megat Zafril sama seperti sebelumnya. Tenang dan mendatar.
            “Waalaikumusalam.” Aku jawab bersama senyuman. Suka.
            “Nea buat apa tu?”
            Nak jawab apa? Nak beritahu aku sedang melihat gambar-gambar dia di Langkawi? Kalau aku jawab begitu soalan begini mesti menyusul. Kenapa tengok gambar abang? Jadi aku bakal jadi hipokrit sekali lagi.
            “Nea ingat nak tidur aje. Badan rasa letih sangat ni. Esok mula kerja. Ikutkan hati rasa nak sambung cuti saja. Malas betul nak kerja.”
            “Hmm, kalau malas nak kerja kahwinlah cepat. Duduk rumah saja. Habis cerita Uruskan rumah tangga.”
            Hmm, bunyi macam buat tawaran, tawaran nak jadi bibik dia. “Hmm, bilalah agaknya Nea ni boleh jadi mem macam tu.” Aku jawab sambil tarik nafas.
            “Cakap aje, bila-bila pun boleh…”
            Aku buat-buat gelak walaupun aku tidak tahu kenapa aku boleh gelak begitu. Rasa  gedik semacam, tapi dengan cara itulah aku boleh mengawal keadaan. Boleh menyembunyikan segala rasa.
            “Emm, mak abang buat apa sekarang ni? Nea tengok banyak beli barang tadi.” Aku larikan perhatian Megat Zafril dari berbicara soal yang aku tidak berapa boleh tumpang beri pendapat. Tidak mahu berbicara soal-soal yang agak peribadi kerana aku tidak mahu terus-terusan bergelumang dengan hipokrit.
            “Tengah tengok pinggan-pinggan yang mak beli tadi. Rumah ni dah penuh dengan pinggan mangkuk. Pelik betul. Memang orang perempuan suka kumpul pinggan?”
            “Tak tahulah. Mak Nea pun sama. Suka kumpul pinggan mangkuk.”
            “Nea tak suka?”
            “Belum lagi ada minat macam tu sebab tak ada rumah sendiri lagi. Nanti kalau sudah ada rumah sendiri mungkin juga kut,” jawabku jujur. Sekarang ini pinggan mangkuk belum ada dalam senarai barang yang mahu dibeli. “Susah-sudah nanti angkut pinggan mangkuk mak aje. Habis cerita.” Gelakku bermula lagi. Seperti lucu benar tapi tak lawak pun.
            “Kan, habis cerita. Rumah mak abang pun banyak. Abang pun akan angkut sama nanti.”
            Nak sambung gelak tak jadi sebab kata-kata Megat Zafril mematikan segera niat tersebut. Abang pun akan angkut sama nanti? Serius, memang aku tak faham apa maksud kata-kata Megat Zafril itu. Seolah-olah pinggan yang mahu diangkut itu bakal diletakkan di dalam rumah yang sama dengan rumah yang mahu aku letak pinggan mangkuk juga. Apa cerita sebenarnya ni?
            “Senang betul kerja kitakan? Tukang angkut saja.” Megat Zafril menokok seperti kata-katanya sebentar tadi tiada mempunyai apa-apa makna. Atau mungkinkah aku sudah tersalah dengar? Atau mungkinkah juga aku sudah tersalah tafsir maksud sebenar kata-kata Megat Zafril itu?
            “Tu le…” Aku jawab ringkas.
            “Abang gurau aje. Kita pun boleh kumpul harta sendiri. Buat apa nak kacau harta orang tua.”
            “Betul tu.” Kenapalah bercakap topik bosan ni? Aku tak nak bercerita pasal pinggan mangkuk, harta pusaka bagai. Aku mahu cerita pasal lain. Cerita yang boleh buat perasaanku jadi berbunga-bunga. Aku mahu lupa diri sekejap.
            Diam seketika. Aku cuba mencari ayat-ayat yang membolehkan kami bercakap lebih lama lagi. Dengar suara dia sudah cukup.
            “Emm, harap bila-bila kita boleh bercuti macam ni lagi.” Ujarku perlahan
            “Insya Allah, apa kata lepas ni kita pergi Sabah pulak. Kita panjat Gunung Kinabalu.”
            “Abang, agak-agaklah. Tak kan nak ajak mak-mak kita panjat Gunung Kinabalu.”
            “Siapa cakap abang nak ajak mak-mak kita pergi sama? Abang nak bawa Nea sorang saja. Merepek Nea ni nak panjat Gunung Kinabalu dengan mak-mak kita.”
            Aku gelak. Tak terbayangkan kalau mak dan Hajah Asmah ikut sama panjat Gunung Kinabalu. “Nea ingat nak buat rombongan Cik Kiah lagi.” Aku sambung gelak.
            “Lepas ni kita pergi berdua saja. Tak payah nak ajak orang tua.”
            “Nea tak ada masalah. Cuma nak berjawab dengan mereka tu aje yang jadi masalahnya. Kalau nak ikut abang, Nea tak kisah. Sebab Nea tahu abang lelaki yang boleh dipercayai. Cuma tulah, tak kan nak cakap kita keluar berdua. Karang tak pasal-pasal kita diijab kabulkan.” Aku gelak lagi.
            “Apa salahnya kalau kita diijab kabulkan. Abang tak kisah.”
            Mendatar saja suara Megat Zafril. Bagai ada yang tidak kena. Dia sudah mula jatuh cintakah? Pertemuan singkat ini sudah menerbitkan bunga-bunga cinta di hati lelaki Megat Zafril? Dan aku perlu beritahu yang aku ada rasa sedikit suka kepadanya? Jangan Nea. Belum masanya. Mana boleh cakap apa-apa lagi.
            “Kalau ada jodoh kita, tentu tak ke mana bang. Sementara tu kita kawan dulu.” Aku menyedapkan hati Megat Zafril. Mahu dia menaruh harapan juga.
            “Ya betul tu. Kita perlukan masa untuk sesuaikan diri. Kenal hati budi masing-masing dan juga kekurangan serta kelemahan kita.”
            “Banyak masa lagi bang, insya Allah.”
            “Emm, betul. Okeylah Nea. Abang pun nak masuk tidur ni. Esok nak mulakan kerja.”
            “Abang, sekejap.”
            “Ya…”
            “Tempat kerja abang tu ramai pekerja perempuan tak?”
            “Ada juga, tapi bahagian ofis pengurusan sajalah. Yang ramai pekerja lelaki saja, maklum syarikat penghantaraan. Nea jangan bimbanglah. Ofis abang ni semua pekerja lelaki.” Megat Zafril gelak perlahan.
            Ah! Kenapa aku boleh tanya soalan macam tu? Tak logiknya soalan. Nanti dia ingat apa pulak. Alahai…
            “Hmm, okey abang. Nanti kita sambung lagi. Selamat malam. Assalamualaikum.” Cepat aku bagi salam. Tak mahu salah cakap lagi. Nanti lagi panjang cerita. Cukuplah tersasul sekali.
            “Okey Nea, selamat malam. Mimpi indah tau. Waalaikumusalam.”
            Aku tutup telefon bimbit. Fikiran juga terasa mati. Tak boleh fikir apa-apa. Bimbang betul kalau Megat Zafril dapat meneka maksud yang tersurat. Maka betullah, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.
            

Friday 27 July 2012

DIA PILIHAN HATI bab 4


SELESAI bersarapan, kami buat acara masing-masing. Kaum ibu bapa dengan sebuah kereta. Dan kami dengan sebuah lagi kereta. Acara kami berbeza.
            “Abang nak ke mana?” soalku ketika Megat Zafril sudah memandu.
            “Abang ikut Nea. Abang tukang pandu kereta saja.”
            “Mana boleh macam tu. Mana boleh jadi tukang saja. Kenalah juga fikirkan apa yang abang nak buat. Abang jangan terlalu ikut cakap perempuan. Tak baik. Abang kena bertegas.”
            “Cakap perempuan mana lagi abang nak ikut. Abang mana ada kawan perempuan.”
            “Nea cakap masa akan datang. Mana tahu jumpa perempuan yang buat abang berkenan.”
            “Siapalah yang nak kan abang ni.”
            Eh mamat ni. Main drama pulak. Aku cuma nak ajar dia saja jangan jadi lelaki lembik, yang tahu ikut cakap perempuan saja. Dia pulak fahamkan benda lain.
            “Suka hati abanglah. Nea cakap benda yang betul.”
            “Terima kasih ingatkan abang. Hmm, jadinya abang buat keputusanlah. Kita naik kereta kabel dulu, kemudian kita melawat makam mahsuri. Boleh?” Dia senyum sambil jeling sekali.
            “Macam tulah.” Senang dengan keputusan Megat Zafril, jadi aku tiada bantahan. Nampaknya dia juga selesa. Senyuman yang terukir di bibirnya sudah menjelaskan keadaan. Emm, rasanya kami boleh berkawan.
            “Abang,”
            “Emm…”
            Aku suka dengar sebutan emm itu. Sangat lembut dan mendalam. Ada keistimewan yang tersendiri. Aku tepuk dahi. Sekejapnya aku lupa apa yang aku mahu tanyakan. Ah! Hilang ingatan sekejap.
            Megat Zafril terus memandu. Langsung tak cakap apa-apa. Aku pula berusaha untuk ingat semula soalan yang mahu aku tanyakan. Dan aku teringat kembali.
            “Abang…”
            “Emm.”
            Ah, sukanya dengar dia sebut emm itu. “Sepupu abang tu cantik?” Itulah soalan yang mahu aku ajukan.
            “Sepuluh kali cantik Nea. Dia gelap.” Cepat Megat Zafril beri jawapan. Langsung tak fikir terlebih dahulu. Secara logiknya aku tahu, Megat Zafril marah. Tidak suka aku bertanyakan tentang sepupunya. Jadi aku fikir, tak perlulah aku tanya lebih-lebih walaupun aku mahu benar bertanya lagi soalan. Dia suka ke dengan sepupunya itu. Kalau suka, jenis suka yang bagaimana. Tapi jawapan Megat Zafril tadi sudah mematikan semangatku untuk bertanya lagi.
            “Sebenarnya abang tak setuju dengan rancangan mak abang tu. Banyak masalah nanti. Karang kalau apa-apa terjadi, lagi susah sebab melibatkan hubungan saudara mara. Tapi mak abang degil. Nak jugak. Sudahnya kena tolak. Baru kena tolak pun dah masam muka. Lama jugaklah tak bercakap dengan mak ngah abang tu.” Megat Zafril bercerita.
            “Habis abang suka dengan sepupu abang tu?”
            “Hisy, merepek Nea ni. Sepupu kan. Nak suka apa lagi.”
            Satu lagi aku suka Megat Zafril sebut hisy, merepek Nea ni. Sudah jadi tagline dia pulak. Ah! Kenapa banyak benar perkara yang aku suka tentang Megat Zafril ini?
            “Gadis lain tak ada?”
            “Mana ada. Kalau ada taklah kalut Hajah Asmah tu buat benda ni. Siap bawa kita pergi bercuti ke Langkawi lagi. Kebetulan pulak mak Nea pua sama nak carikan Nea jodoh, ibarat pucuk dicita ulam yang datang. Tinggal kita saja yang susah nak serasi.” Suara Megat Zafril mendatar.
            “Tapi kita okey. Tak adalah nak gaduh-gaduh ke. Nak marah-marah ke.”
            “Kita sudah berusia. Bukan budak-budak lagi nak buat perangai macam tu. Berkawan aje baik-baik. Kalau sudah tertulis, kita tak ada jodoh, buat macam mana pun, jodoh tu tetap tak ada.”
            Aku senyum. Puas hati dengan jawapan Megat Zafril. Betul tu. Kami masing-masing sudah dewasa. Kenapa harus buat perangai tidak matang sedangkan bukanlah perkara terlalu besar. Sekadar memenuhi kehendak orang tua sahaja. Apa salahnya menggembirakan hati mereka.

Hampir seharian kami menghabiskan masa bersama. Pulang pun sudah masuk waktu maghrib. Hari ini rasa sangat gembira kerana dapat menghabiskan masa bersiar-siar tanpa bersama kaum ibu bapa.
            Hmm, tak sangka Megat Zafril tidaklah sebosan mana. Dia pandai bawa diri dan sentiasa mengawal tingkah laku. Langsung tidak tunjukkan sifat-sifat yang tidak menyenangkan.
            “Penatnya…” Aku lambung badan atas katil. Pejam mata dan bayangkan keseronokkan yang aku lalui sepanjang hari ini. Dari menikmati rasa gementar ketika menaiki kereta kabel di Gunung Mat Chinchang sehinggalah singgah di Makam Mahsuri. Menikmati makanan yang enak di Pulau Langkawi yang jarang-jarang aku jumpa di KL.
            “Seronok?” Mak tanya.
            “Seronok.” Aku jawab sepatah.
            “Mana tak seronok. Sehari suntuk merayap. Itu yang Nea suka bukan?” Mak cakap lagi. Masa tu Hajah Asmah tiada di dalam bilik. Dia keluar sebaik saja aku masuk bilik tadi. Mungkin sedang menyiasat sesuatu daripada Megat Zafril.
            “Jadi macam mana?” Mak tanya pula.
            “Macam mana apa?”
            “Zafril, okey tak?”
            “Okey. Taklah macam lelaki gatal. Tak ada pulak dia nak meraba-raba.” Aku jawab, kalau itu yang mak nak tahu.
            “Hisy, budak ini. Tak kanlah Zafril berani buat macam tu. Mak tahu siapa dia. Yang mak maksudkan, suka ke tidak?” Mak baling tudung mak ke arahku. Geram agaknya mendengar jawapanku. Aku sambut gelak.
            “Mak bagi masa lagi boleh tak? Mana boleh ada perasaan suka dalam waktu yang singkat. Perasaan suka mana boleh paksa-paksa.”
            “Jadi Megat Zafril ada peluang?”
            “Dia seorang lelaki yang baik, mak. Rugi kalau lepaskan lelaki sebaik dia, tetapi mestilah ada perasaan suka dan ikhlas untuk terima dia. Sesuatu hubungan tu mestilah didahului dengan rasa kasih dan sayang. Mak kena faham tu.” Aku duduk. Tocang rambut tinggi.
            “Nea faham maksud mak dan Hajah Asmah ikhlas untuk menyatukan kami. Tetapi biarlah kami yang putuskan nanti.” Aku capai tuala. Nak mandi. Mak langsung tidak bersuara, seperti jauh hati jadi aku peluk mak erat sebab nak dekatkan semula hati mak.
            “Mak jangan bimbang. Kalau ada jodoh Nea, pasti tak ke mana.” Aku cium pula pipi mak. Sayang mak. Aku tahu mak hanya lakukan yang terbaik untukku.
            “Tapi Zafril memang lelaki yang baik,” kata mak sambil pegang pipiku.
            “Memang dia seorang lelaki yang baik, tapi baik dan sayang tu dua makna yang sangat jauh mak.”
            “Mak faham.”
            Aku rasa sedikit lega. Kalau aku gagal menggembirakan emak, setidak-tidak aku dapat melegakan hati emak. “Mak jangan risau ya. Mak doakan, semoga pintu hati Nea terbuka untuk terima Abang Zafril.
            “Maafkan mak sebab libatkan Nea dalam masalah ni. Mak tahu mak seperti terlalu mendesak Nea sehingga Nea tak ada pilihan. Mak langsung tak fikirkan perasaan Nea.” Suara mak perlahan. Meruntun jiwaku jadinya.
            “Mak, jangan cakap macam tu. Sedih Nea. Nea tahu mak mahukan yang terbaik sahaja buat Nea. Mak janganlah fikir apa-apa.” Semakin kemas aku peluk emak. Kalau dengan cara itu akan memulihkan perasaan emak, aku akan peluk emak sampai bila-bila.
            Emak seperti membiarkan sahaja aku peluk dengar erat. Sudah terbiasa begitu. Emak memang suka dipujuk cara begitu.
            Hajah Asmah muncul tiba-tiba. “Hmm, beruntungnya orang ada anak perempuan,” kata Hajah Asmah sambil senyum pandang kami berdua.
            “Yang ini saja macam ni. Maklum tak pernah berenggang dengan kita dari kecik,” jawab mak. Aku lepaskan pelukan. Mahu mandi. Sekilas aku jeling Hajah Asmah. Ada tanda-tanda ceria. Mesti ada khabar berita yang gembira.
            “Err, malam ni Nea tak nak makan apa-apa. Satu hari Abang Zafril belanja makan. Perut Nea dah penuh. Cuma Nea nak ajak  Abang Zafril karaoke malam ni.” Aku cakap masa tolak pintu bilik air. Sebenarnya aku tak cakap apa-apa pun pasal karaoke pada Megat Zafril. Aku memandai sendiri.
            “Rosak anak hajah kalau berkawan dengan anak kita,” kata mak pula.
            “Tak mengapa, asal mereka suka, suka hatilah nak buat apa.” Ada nada gembira pada suara Hajah Asmah. Harap kedua-dua emak itu akan gembira dan pastinya aku akan rasa gembira sama.

Wednesday 25 July 2012

DIA PILIHAN HATI bab 3


Selesai solat maghrib, aku lambung badan atas katil bagi memberi ruang buat emak dan Hajah Asmah solat pula. Sebentar nanti ada acara makan-makan bertemakan kekeluargaan. Rasanya aku malas turut serta sebab aku tidak mahu campur dengan orang-orang tua. Karang depan-depan aku kena soal. Susah nak jawab.
            “Hmm, apa pendapat Nea tentang Megat Zafril, dia okey?” soal Hajah Asmah sambil lipat kain solat dan letak atas katil sebelah. Aku pandang emak yang sedang tambah bedak ke muka sebaik sahaja selesai solat. Emak jeling tajam. Tandanya mahu aku cakap benda yang elok-elok.
            “Err…Nak Nea cakap jujur atau cakap tipu?’ soalku pula.
            “Yang jujur dan ikhlas.”
            Aku pandang lagi emak. Muka emak masih begitu. Kemudian pandangan tertumpah pada wajah Hajah Asmah. Serba salah, itu saja perkataan paling sesuai untuk mewakili keseluruhan perasaanku ketika ini. Tapi seperti kata Megat Zafril, tak perlu bermuka-muka kalau sekadar hendak menjaga hati.
            “Jujur Nea cakap Abang Zafril seorang lelaki yang sangat membosankan. Sepatah Nea cakap, sepatah jugaklah Abang  Zafril jawab. Bosanlah.”
            Jelas wajah Hajah Asmah menampakkan perubahan yang sangat besar. Merudum terus. Hilang wajah cerianya. Terbit rasa bersalah di benakku. Keterlaluan benarkah kata-kataku? Tadi Hajah Asmah sendiri mahu aku berikan jawapan, bila sudah jawab lain pulak kisahnya. Ah! Susahlah kalau begini. Hati orang tua memang mudah tergores. Tak boleh silap sikit.
            “Zafril tu memang jenis macam tu. Tak banyak cakap. Tapi dia baik. Tak suka berkawan dengan perempuan.” Hajah Asmah nampaknya masih tidak mahu mengalah. Nada percakapan juga seperti tidak puas hati.
            “Betul, Nea fikir pun rasa Abang  Zafril macam tu, tapi dia agak membosankan. Mak cik tahukan, Nea ni suka bercakap. Nea suka berjalan ke sana sini. Abang  Zafril pulak, ajak pergi sana tak nak. Pergi situ tak nak. Memang bosanlah. Asyik duduk aje…” Hebat aku malam ini jadi tukang karut. Habis Megat Zafril kena jual. Tetapi kenapa hatiku pula yang terasa sakit bila meluahkan kata begitu? Sedangkan aku tahu Megat Zafril tidaklah seburuk itu.
            Hajah Asmah cepat-cepat sarung tudung. Kemudian kenakan sedikit gincu di bibirnya. “Err, kita tunggu kat bawahlah,” kata Hajah Asmah tiba-tiba. Seperti tergesa-gesa hendak tinggalkan bilik. Dan aku tahu Hajah Asmah sedang merajuk. Buruknya perangaiku.
            “Pergilah dulu. Nanti kami turun,” balas emak. Aku pandang saja langkah Hajah Asmah yang menuju pintu. Sebaik sahaja Hajah Asmah keluar, emak terus tolak kepalaku.
            “Tak boleh nak cakap elok sikit?” soal emak.
            “Habis, Hajah Asmah sendiri yang tanya. Nea jawablah. Dah jawab, marah pulak.”
            “Yalah, tak boleh nak menipu sikit-sikit?”
            “Tak kanlah nak tipu kalau dah perangai anak dia macam tu.”
            “Nea ni memang tak pandai nak jaga hati orang langsung. Kalau tak suka sekalipun, tak boleh nak cakap elok-elok. Mak tak kira, Nea suka atau pun tidak, Megat Zafril tetap akan jadi menantu mak. Mak berkenan dengan dia. Baik budaknya dan berbudi bahasa. Mak mahu waktu kita di sini, Nea cuba untuk sukakan dia.”
            “Bukannya Nea tak suka, tapi dia tak sesuai dengan Nea. Tak serasi macam mana nak jadi suami Nea.”
            “Nea jangan banyak ceritalah. Macam Nea tu bagus sangat!” Mak atur langkah menuju pintu. Tahu emak sedang marah tapi sesungguhnya aku lebih marah lagi. Mana boleh paksa untuk sukakan seseorang. Itu soal perasaan. Mana boleh main-main dengan perasaan sendiri.
            “Cepat siap,” arah emak sebelum tinggalkan bilik. Nak tak nak Aku terpaksa menurut. Sarung tudung dan bergerak tinggalkan bilik.

Waktu aku sampai di kawasan tempat letak kereta, aku nampak Megat Zafril sedang menunggu di situ. “Tunggu Nea?” soalku.
            “Hmm,” jawab Megat Zafril. Dia pandang aku tepat.
            “Muka macam baru kena marah aje.” Cuba bersoloroh dengan Megat Zafril. Jelas kelihatan wajahnya seperti orang baru ke marah.
            “Tau tak apa!” jawab Megat Zafril.
            “Hmm, dah agak.”
            “Masak abang macam ni.” Megat Zafril seperti merungut dan aku terus gelak. “Ada ke patut esok paksa abang bawa Nea jalan-jalan sebab Nea cakap abang membosankan,” kata Megat Zafril lagi.
            “Sorrylah. Sebab sudah menyusahkan abang.” Betul-betul rasa serba salah ketika itu. Melihat wajah Megat Zafril yang agak muram, aku tahu dia benar-benar kena marah dengan Hajah Asmah.
            “Abang pun minta maaf sebab melibatkan Nea dalam hal ni. Abang tahu semua ni rancangan mak abang. Kalau tidak tak jadi macam ni.”
            “Terdesak sangat ke mak abang nak bermenantu sampai aturkan rancangan macam ni?” Kami sama-sama melangkah sambil berbual menuju restoren yang tidak jauh dari penginapan kami.  
            “Mak abang sebenarnya malu sebab mak ada pinang sepupu abang. Tapi kena tolak. Sebab nak tutup malu tu, mak cuba kenenkan abang dengan Nea.”
            Ada cerita disebalik cerita rupanya.
            “Yalah, siapalah yang nak abang yang kerja biasa-biasa aje ni. Sebelah mata pun orang tak pandang.”
            Macam sindir aku saja. Sebab aku pun sudah tolak dia awal-awal lagi. Tapi bukan aku memandang akan paras rupa atau pangkat Megat Zafril tetapi mana boleh aku kata aku suka kalau perkataan suka itu memang benar-benar tidak ada. “Abang jangan cakap macam tu. Nea tak fikir pun apa-apa pun. Cuma Nea belum bersedia untuk ada komitmen dalam rumah tangga. Itu aje.”
            “Abang pun tak cakap Nea. Abang cakap sepupu abang tu.”
            “Tapi cara abang bercakap buat Nea terasa sama.”
            “Lah, janganlah terasa.”
            Manalah aku tak terasa kalau cakap jenis tala kepada semua. Sedangkan yang ada di situ hanya aku dan dia sahaja. Jadinya memang sah dia sindir aku.
            “Memanglah terasa.” Aku jawab selamba.
“Janganlah macam tu. Gadis muka cantik mana boleh mudah terasa. Nanti turun harga.” Megat Zafril gelak sekali. Seperti mahu mengambil semula hatiku. Aku senyum tawar sebagai tandaku terima gurauannya. Gadis muka cantik? Betul ke?
            “Hmm, baru sampai?” soal Haji Megat Bakri. Serius saja bunyinya. Aku pilih duduk sebelah mak dan Megat Zafril pilih duduk bersebelahan Haji Megat Bakri dan Hajah Asmah.
            “Dah buat pesanan?” soal Megat Zafril.
            “Sudah, tinggal air korang berdua saja,” balas Hajah Asmah. Kemudian mereka berbual sesama mereka. Tinggal aku dan Megat Zafril yang terpaksa melayan perasaan sendiri-sendiri. Bosan amat. Kenapalah boleh terlibat dengan keadaan seperti ini.
            Aku pandang Megat Zafril. Dia senyum tawar. Rasanya kalau boleh lari, sudah lama dia lari dan aku tidak teragak-agak untuk lari sama dengannya. Biarlah, dari terpaksa dengar orang tua berbual lebih baik lari saja.
            Haji Megat Bakri melaung seorang pekerja restoren. “Nea nak minum air apa?” soal Haji Megat Bakri.
            “ABC.” Terus aku jawab.
            “Nea tu semput. Mana boleh minum air sejuk malam-malam macam ni. Sudahlah di sini angin kuat.” Mak bantah. “Bagi  MILO panas.” Seperti selalu emak buat keputusan untukku. Terkebil aku pandang budak pelayan berlalu pergi.
            Suasana kembali seperti biasa selepas itu. Aku pula sambung dengan rasa bosan. Megat Zafril kelihatan sama. Seketika kami lawan tentang mata. Dia senyum aku balas, macam tu saja buat beberapa ketika. Dan akhirnya baru aku perasan, Hajah Asmah sedang perhatikan kami. Wajah Hajah Asmah agak masam waktu aku pandang wajahnya. Aku sekadar senyum namun senyumanku dibalas dengan senyuman yang agak menakutkan. Hmm, fikir dua tiga kali jugak nak buat mak mertua ni. Mesti garang.
            “Esok anak kita ni nak ajak Nea jalan-jalan, boleh tak hajah?” Hajah Asmah bersuara tiba-tiba. Puas sudah agaknya melihat aku dan Zafril begini.
            “Eh, boleh aje. Kita tak kisah.” Mak beri jawapan cepat. Sah konspirasi terancang. Aku tak terkejut sangat dengan keizinan mak tu. Memang lampu hijau akan menyala terus terusan.
            “Hmm, ke mana nak berjalannya. Si Nea ni kuat berjalan. Karang buat penat Zafril saja. Jangan ikutkan sangat kepala Nea ni.” Ayah menyampuk. Rasanya ayah masih kurang jelas dengan keadaan sebenar jadi ayah nampak sedikit blur. Atau mak tidak perjelaskan dengan terperinci tentang niat murni emak hendak mengenenkan aku dengan Megat Zafril? Ayah memang selalu begitu. Bak kata kak long, ayah selalu salah naik bas. Nak gelak aku jadinya dengan sikap kurang mengambil tahu ayah itu.
            “Tak adalah haji, dah datang sini tak kan nak memerap kat bilik saja. Apa guna bercuti. Nak jalan-jalan dengan kita sah tak sesuai dengan jiwa mereka. Kita biarkan ajelah mereka dengan hal mereka.” Hajah Asmah masih berusaha.
            Aku pandang Megat Zafril. Wajahnya beriak bosan. Nampaknya bukan saja lagi aku yang jadi mangsa, Megat Zafril juga terlibat sama.
            “Hmm, yang kita pesan sudah sampai,” kata Haji Megat Bakri sebaik sahaja pesanan yang mereka minta dihidangkan. Pergh, takut aku tengok. Siap ikan bakar, udang bakar, kerang bakar, ada tom yam, ada sayur campur. Memang makan besar malam ni.
            “Hmm, apa lagi. Jemput makan,” kata Haji Megat Bakri. Maknanya semua ni atas tajaan Haji Megat Bakri.
            Megat Zafril baca doa makan sebelum tu, aku tumpang aminkan. Masa dia baca doa, aku pandang wajah dia. Masih tenang tapi tetap wajah bermasalah. Kesian dia. Aku faham, aku mengerti keadaan Megat Zafril. Aku lebih merasakan, tetapi apa daya kami hendak mengelak. Karang memberontak, kata kami anak derhaka. Paling teruk kalau emak luahkan kata-kata yang kurang enak. Jadi hendak atau tidak, inilah saja pilihan yang kami ada. Pasrah.
            “Budak Nea kalau makan udang, macam inilah caranya. Nak kita buangkan kulitnya baru nak makan.” Emak bercakap sambil buang kulit udang. Beberapa ekor udang yang sudah emak buang kulit, emak letak dalam pingganku.
            “Siapa yang ajar? Sejak kecik diajar macam tu, sampai ke tualah dia buat perangai.”Ayah mencelah. Aku buat tak dengar. Emak memang begitu, jadi bagaimana aku mahu lakukan sendiri.
            Aku sambung makan. Kemudian aku ambilkan emak ikan. Pastikan isi tanpa ada sebarang tulang. Aku tahu penglihatan emak sudah kurang jelas bila waktu malam. Tanpa sedar perbuatan kami diperhatikan. Biasalah, aku anak emak. Apa-apa hal aku semua dengan emak. Duit gaji aku juga emak yang pegang. Cuma dalam bab mengenenkan aku saja, aku rasa nak jadi anak emak orang lain.
            Acara makan berlangsung dengan senyap. Berbual pun di kalangan orang tua saja. Itupun sesekali.
            “Apa mak ni.” Tiba-tiba Megat Zafril bersuara. Aku angkat muka. Nampak seperti Hajah Asmah cubit perut Megat Zafril. Apa lagi tu. Apa lagi yang tak kena? Ada-ada saja. Kesian kawan tu nak makan pun tak selesa.
            Hajah Asmah sambung makan lepas tu dan aku masih pandang Megat Zafril. Dia juga pandang aku. Aku angkat kening, sebagai tanda aku tanya apa yang tidak kena. Megat Zafril geleng sebagai tanda jawapan. Tak sangka faham juga dengan soalanku.
            Waktu aku nak ambil kuah tom yam, Megat Zafril letak 3 ekor udang dalam pingganku. Terkejut aku. Terus pandang wajah Megat Zafril. Wajah tenang itu tetap tidak beriak. Hmm, tadi kena cubit tu suruh buangkan kulit udang ke? Ya Allah, kesiannya dia.
            “Terima kasih.” Aku cakap perlahan.
            “Zafril memang macam ni. Rajin tolong buang kulit udang,” kata Hajah Asmah. Nak rasanya aku tepuk dahi. Masalah betul dengan orang tua seorang ini. Sampai begitu sekali menjaja anak.
            “Hmm, sesuai sangatlah dengan Nea yang pemalas tu.” Ayah tak sudah lagi. Aku sambut dengan senyum. Tuang kuah tomyam ke dalam mangkuk kecil dan serahkan kepada ayah. Sayang ayah, cuma dengan ayah aku tak berapa ngam. Ayah tak boleh jadi geng sebab ayah berjiwa pembangkang.
            Selesai acara makan, acara lepak pula. Tepi pantai jadi pilihan. Kelihatan ramai yang sedang berpesta di tepian pantai. Pelbagai bangsa. Mak tetap dengan Hajah Asmah. Ayah dengan Haji Megat Bakri. Aku? Aku dengan bosan. Mujur ada telefon bimbit. Bolehlah aku berbual dengan Linda.
            “Boring?” Linda gelak dengan kuat. Macamlah perkataan boring itu sangat melucukan.
            “Eh, kau keluar sekali dengan geng orang tua. Barulah kau tahu macam mana rasanya.”
            “Habis cik abang tu mana?’
            “Cik abang mana?”
            “Ala, suami masa depan tulah.”
            “Suami masa depan?” Aku masih tidak faham. Kemudian aku perasankan Megat Zafril pandang aku. Itukah suami masa depanku? Aduhai, lagilah aku tak rela. Susah nak cakap.
            “Hmm…” Itu saja aku boleh cakap. Lebih-lebih tak boleh. Bimbang bakal mencederakan hati dan perasaan Megat Zafril. Dia juga ada perasaan yang perlu aku jaga.
            “Kenapa? Teruk sangat ke?”
            “Dia pun macam tak suka aku saja. Macam kena paksa saja.” Itulah yang aku rasa sekarang ini. Dia seperti kurang berminat dengan rancangan kedua ibu bapa kami. Siapalah yang suka kalau sudah dipaksa-paksa. Mana boleh kena dengan jiwa.
            “Nak buat macam mana. Nasib kaulah.”
            “Memang nasib akulah.”
            “Eh, kau telefon aku nanti. Aku nak keluar makan dengan Raiyan. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”
            Ah! Sambung bosan lagi. Aku tarik nafas panjang. Tak tahu nak buat apa. “Mak, Nea masuk biliklah.” Akhirnya aku ambil keputusan.
            “Amboi, tak kan nak tidur. Awal lagi. Selalu kalau tak tengah malam tak tidur.” Mak perli.
            Aku terus atur langkah tanpa pedulikan emak. Megat Zafril ekori dari belakang.
            “Hmm, bosankan?” Dia cakap waktu kami menaiki tangga.
            “Bosan sebab terikat dengan mereka. Kalau kita saja mesti tak bosan.” Aku sedapkan hati Megat Zafril. Tidak mahu dia terasa apa-apa.  
            “Tak maksud abang, abang memang seorang yang membosankan.”
            Aku senyum saja. Tak kan nak menipu pula. Mustahil juga aku mahu berterus terang yang dia itu memang membosankan. Dua-dua jawapan tak kena.
            “Abang tahu, abang memang membosankan.” Ada nada merajuk di situ dan aku semakin serba salah.
            “Mungkin kita masih belum biasa. Kalau kita dah biasa, mungkin tak ada masalah.” Aku pujuk lagi. Tak baik calarkan perasaan orang. Tu namanya bajet bagus. Macamlah aku ni sempurna benar.
            Megat Zafril diam. Mungkin masih tidak terpujuk.
            “Abang…” Aku panggil Megat Zafril.
            “Emm.” Dia pandang aku.
            “Kita pergi rumah urut,”
            “Hisy, merepek Nea ni. Nak kena sembelih dengan mak abang?”
            Aku gelak dengan kuat. Kemudian aku tampar bahunya. “Nea salah cakap sebenarnya.” Aku sudah tidak tahan melihat riak wajah Megat Zafril yang berubah tiba-tiba. Terus sambung gelak. “Sebenarnya Nea nak abang temankan Nea pergi urut badan.” Aku betulkan ayat.
            Baru aku nampak dia senyum selepas pucat tadi. Takut betul dia dengan rumah urut. Yalah, takkanlah anak mak aji buat perangai pelik macam tu.
            “Betul ke Nea nak pergi urut badan?” soal Megat Zafril kemudiannya.
            “Err…” Tak adil pulak nanti. Pasti berjam pula dia kena tunggu. Kesian dia. “Emm, apa kata kalau kita pergi makan ais krim?” Itu cadanganku.
            “Abang ikut aje.”
            “Ini yang Nea suka. Tak ada bantahan langsung.” Aku turun tangga semula. Tak jadi tidur. Selepas ni kami boleh makan ais krim. Mungkin perasaan akan lebih nyaman dan sejuk. Harap begitulah. 

Monday 23 July 2012

DIA PILIHAN HATI bab 2



PETANGNYA, aku putuskan untuk mengambil angin Pantai Cenang bersendirian. Emak dan Hajah Asmah nampak terbaring masa aku keluar tadi. Haji Megat Bakri sudah putuskan  membahagikan bilik sebuah untuk kaum perempuan dan sebuah lagi untuk kaum lelaki. Jadi kami berkongsi bilik dengan Hajah Asmah.
            Aku meniti pasir yang memutih. Angin petang yang menyapa sangat segar. Seketika aku lupakan segalanya. Di bawah pokok yang merimbun di hujung sana aku nampak Megat Zafril sedang duduk. Sebaik sahaja nampak aku, dia lambai tangan.
            Okeylah Nea. Anggap dia kawan. Tak perlu bermusuh. Musuh tak elok dicari. Mana tahu dengan cara berbincang akan lebih memudahkan keadaan.
            “Wah, termenung jauh. Macam teringat seseorang saja,” kataku sambil mengambil tempat bersebelahan Megat Zafril.
            “Mana ada, abang saja duduk-duduk sambil hirup udara segar.”
            “Ingatkan tadi terkenangkan orang jauh.”
            “Tak adalah…” Megat Zafril tarik nafas panjang. Aku pun buat benda yang sama. Tarik nafas panjang. Terasa cukup segar.
            “Emm, Nea tahu tentang rancangan mak ayah kita?” soal Megat Zafril selepas kami tidak bercakap buat beberapa ketika. Masing-masing layan perasaan sendiri.
            “Tahu, sebenarnya Nea dah cuba mengelak, tapi mak Nea ugut nak lari dari rumah. Terpaksalah Nea ikutkan.” Aku tergelak perlahan. Lucu bila teringat masa emak buat perangai. Siap lipat kain baju. Jenuh semua pujuk, tapi tak jalan. Sampaikan bibik kesayangan mak sendiri ugut nak balik Indonesia pun tak berkesan. Masa tu mak betul-betul buat perangai. Tapi buat perangai mak menjadi sebab dengan cara itulah aku berada di sini petang ini.
            Megat Zafril pandang aku. Dia senyum sikit. Hmm, susahnya nak tengok dia senyum. Baru sekarang dapat tengok. Itupun senyum kambing. Jenis senyum kedekut.
            “Abang pulak macam mana boleh terlepas?” soalku pula.
            “Mak abang merajuk. Tak bercakap dengan abang berhari-hari.”
            “Lagi kacau.”
            “Tu le pasal. Nak tak nak abang mengalah.”
            Aku angguk dan pandang ombak yang datang dan pergi. Tenang dan damai aku rasakan.
            “Tapi apa salahnya kita jadi kawankan. Soal rancangan mak kita tu kita tak perlu ambil tahu sangat. Buat serabut kepala saja,”  kata Megat Zafril lagi. Senang mendengar jawapannya. Betul tu. Kenapa harus serabutkan kepala kepada benda-benda yang tidak berhujung pangkal. Sekadar rancangan orang tua saja, sedang keputusannya masih di tangan TUHAN.
            “Betul tu. Tak perlu kita rasa tertekan atas desakan mereka. Bukankah jodoh pertemuan itu kerja Tuhan. Okey, apa kata kalau kita mula berkenalan. Nama Nea, Nea Alisha. Umur 26 tahun dan bekerja sebagai pembantu akauntan kat kilang biskut.” Aku perkenalkan diri, bermakna sessi berkenalan bermula secara rasminya.
            “Emm abang, Megat Zafril. Umur 32 tahun dan abang bekerja di salah sebuah syarikat pengangkutan.” Megat Zafril senyum. Kali ni baru betul-betul nampak dia senyum. Hmm, boleh tahan senyumannya. Serius, cantik.
            “Pengurus besar?”
            “Tak adalah. Pengurus operasi saja.”
            “Pengurus jugak tu.”
            “Adalah sikit-sikit,” balas Megat Zafril. Nampak dia jenis yang merendah diri juga. Aku senyum saja. Senang dengan cara Megat Zafril yang aku kira cukup sederhana.
            “Nea empat beradik. Tiga perempuan dan seorang lelaki. Kak long, kak ngah dan abang chik. Abang Nea sebaya dengan abang. Dah dua anak.”
            Megat Zafril senyum lagi. Ah, murah pula senyumannya. Atau dia sedang fikir aku sudah menyindirnya dengan menyamakan umur dia dengan abang chik. Ya ampun, aku langsung tidak maksudkan begitu. Cuma usianya mengingatkan aku kepada abang yang kini bekerja di Sarawak.
            “Abang pula anak tunggal.”
            Sebenarnya mak sudah beritahu Megat Zafril itu anak tunggal. Satu-satunya anak Hajah Asmah. Kata Linda, ciri-ciri lelaki yang patut dielakkan ketika memilih calon suami ialah, pertama, cuba elakkan dari berkahwin dengan anak tunggal. Kedua, elakkan dari berkahwin dengan anak lelaki tunggal dan ketiga elakkan juga dari berkahwin dengan anak bongsu. Kata Linda lagi, itulah ciri-ciri lelaki anak emak. Masalah yang bakal timbul bila mengahwini lelaki begini, mereka tetap akan ikut cakap mak. Jadinya aku harus berusaha untuk mengelak dari terlibat dengan anak tunggal ini.
            “Nombor telefon?” Megat Zafril tanya dan aku kira, dia cuba untuk lebih memahami. Langsung tak ulas apa-apa bila aku sebut pasal abang tadi.
Masing-masing saling keluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Selepas bertukar-tukar nombor telefon aku ajak Megat Zafril menyusuri pantai. Biar jauh dari kawasan chalet tempat kami menginap. Sebab aku tahu kami bakal jadi intaian.
            “Rasanya kita ni macam diperhatikan saja,” kataku sebaik saja atur langkah.
            “Memang pun,” jawab Megat Zafril sambil toleh ke belakang.
            “Rimaslah kalau macam ni,”
            “Abang pun sama.” balas Megat Zafril. Kedengaran seperti nada tidak seronok.
            “Hmm, boleh Nea tahu kenapa abang tak setuju dengan rancangan ni? Abang dah ada pilihan hati?” soalku. Yalah. Umur dia pun bukan muda lagi. Sudah masuk 32 tahun.
            “Tak ada. Abang masih kosong. Entahlah. Tak terfikir lagi ke arah itu. Dan Nea pula?”
            “Banyak benda lagi yang Nea nak buat. Lagipun Nea belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Nea nak enjoy,” jawapan tidak berapa tepat. Sebenarnya perkataan serik itu lebih sesuai. Serik untuk terlibat dengan lelaki.
            “Emm… Kalau mak kita tanya, Nea nak beri jawapan apa?”
            “Emm, jawapan kita mesti sama. Cakap saja kita tidak memenuhi kriteria yang diperlukan. Abang cakap aje Nea ni bukan taste abang. Cakap  Nea ni gedik, sosial dan apa-apa ajelah yang boleh dijadikan alasan.”
            “Tapi abang rasa Nea bukan orangnya begitu.”
            “Abang cakap ajekan. Ini Nea yang suruh.” Eh! Tak faham pulak dia ni. Orang dah bagi lampu hijau masih lagi tak faham-faham.
            “Okey, nanti abang beritahu mak abang,  Nea ni seorang perempuan gedik dan tak boleh dijadikan isteri. Tapi apa pula Nea nak beri alasan untuk mak Nea? Jangan pulak cakap abang ni kaki perempuan. Sebabnya mak abang tahu abang ni jenis duduk rumah. Abang jarang keluar rumah tak tentu pasal.”
            Yalah, awak anak mak bukan? Mana boleh jauh daripada mak. Betullah kata Linda.
            “Suka duduk rumah? Wah, tak sangkanya.” Aku tolak bahu Megat Zafril dengan bahuku. Mahu membangkitkan suasana mesra. Kawan tapi mesra.
            “Tak percaya?” Megat Zafril pandang aku dan senyum lagi.
            “Percaya…” Aku gelak sekali. Seronok juga berbual dengan dia walaupun baru mengenali dirinya. Nampak jenis suka berterus terang.
            “Emm, kalau Nea cakap abang jenis membosankan boleh?” soalku.
            “Memang tepat. Semua yang kenal abang pun cakap macam tu. Abang ni jenis yang membosankan.”
            “Alaaa…kesiannya. Nea tak maksudkan begitu. Nea cuma nak beri alasan saja.”
            “Tapi alasan Nea tu memang kena. Memang tepat.”
            “Abang jangan terasa pulak.”
            “Tak adalah nak terasa. Dah hakikatnya memang abang membosankan.”
            “Taklah. Nea tak rasa begitu.”
            “Mungkin sebab Nea baru kenal abang.”
            Aku anggukk. Mungkin juga. Kami terus melangkah. Hari juga sudah meransur redup. Tiba-tiba telefon bimbit Megat Zafril berbunyi.
            “Emak abang,” beritahu Megat Zafril. Aku senyum. Hmm sah, anak emak. Hilang sekejap sudah dicari.
            “Ya mak, ada apa?” soal Megat Zafril sebaik sahaja menjawab salam emaknya.
            “Nea?” Megat Zafril pandang aku dan cepat aku beri isyarat tiada. Sah mereka semua sedang mencari aku.
            “Tak ada. Nea tak ada dengan orang. Kenapa mak?” soal Megat Zafril. Hmm, pandai juga dia berlakon.
            “Tak ada? Ke mana dia pergi? Mungkin dia pergi shopping kut. Tunggu ajelah. Lagipun dia dah besar. Pandailah dia jaga diri.” Megat Zafril pandang aku, kemudian dia buang daun yang melekat atas tudungku. Bersahaja tingkahnya. Buat aku terasa sesuatu.
            “Okey mak. Assalamualaikum,” kata Megat Zafril. Selepas itu terus dia simpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.. Megat Zafril tunjukkan tapak tanganya. “Give me five.” Cepat aku tampar. Yes!
            “Jahatnya kita.” Kataku selepas itu.  
            “Tak apa, bukan selalu kita jahat. Jahat pun sebab terpaksa.” Balas Megat Zafril. Kami menyusuri pantai dengan perasaan gembira. Sikit pun aku rasa tidak tertekan. Ternyata ada keserasian antara aku dan Megat Zafril. Ya, berlajar untuk menerima itu lebih baik dari terus-terusan menolak. Ada sesuatu yang aku pelajari petang ini. 

Sunday 22 July 2012

DIA PILIHAN HATI bab 1


SESEKALI aku mencuri pandang lelaki yang duduk di kerusi paling hujung. Baru kejap tadi aku tahu namanya Megat Zafril. Lelaki yang hendak emak kenenkan dengan aku.  Orangnya? Emm, macam mana nak cakap ya. Rasanya biasa saja. Tak banyak cakap. Memang tak dengar langsung suara dia sepanjang perlajalanan tadi. Nampak dia juga seperti terpaksa dengan percutian ini. Dan aku rasa memang dia juga dipaksa. Sama juga dengan keadaanku.
            “Ramai betul orang.” Hajah Asmah bersuara tiba-tiba setelah agak lama tidak bercakap sambil melihat-lihat orang yang agak ramai memenuhi ruang menunggu di jeti Kuala Kedah itu. Wajah Hajah Asmah aku nampak cukup ceria. Nampak dia seperti bersemangat dengan percutian ini. Emak juga lebih kurang Hajah Asmah. Bersemangat untuk bercuti. Tetapi sebenarnya semangat mahu kenenkan kami. Bukan aku tidak tahu rancangan emak.
            “Kita salah pilih tarikh ni. Sepatutnya jangan pergi cuti raya Cina,” balas emak.
            “Yalah, sepatutnya kita rancang betul-betul.” Hajah Asmah seperti mengeluh. Mungkin tidak menyangka Jeti Kuala kedah akan sesesak ini.
            “Tak apalah. Kita dah sampai sini. Teruskan ajelah,” jawab emak.
Aku simpan buku nota dan pen dalam beg. Kemudian tercari-cari abah dan Haji Megat Bakri. Tak nampak bayang. Entah ke manalah kedua polis pencen itu melepaknya. Tiba-tiba aku terpandang Megat Zafril. Dia juga pandang aku. Wajahnya masih begitu, Tanpa sebarang senyuman. Nampak benar tak sukanya. Ah! Lantak dialah. Aku pun bukan nak ikut percutian ni. Kalau emak tak main ugut-ugut nak lari dari rumah, Aku pun tak ingin nak turut serta.
            Aku bangun. Ingat nak beli air mineral. Entah berapa lama pula dalam feri nanti. Mungkin ada yang dahaga. Ketika separuh aku atur langkah, aku nampak ayah dan Haji Megat Bakri sedang berbincang sesuatu dengan lelaki yang menawarkan beberapa pakej ketika di Langkawi. Nampak bersungguh kedua lelaki itu, jadi aku ambil keputusan tidak mahu bertanya apa-apa.
            Aku melangkah perlahan menuju ke gerai yang terdapat di situ. Pilih 6 botol air mineral bersaiz kecil. Kemudian aku cari asam kecut.
            “Abang bayar.” Tiba-tiba Aku dengar suara lelaki di sebelahku ketika  sedang cari beg duit dalam beg tangan. Cepat aku toleh. Waktu itu Megat Zafril sudah hulurkan wang sepuluh ringgit kepada tuan punya gerai.
            “Terima kasih,” kataku perlahan.
            “Emm…” jawab Megat Zafril. Masih dalam nada serius. Kami sama-sama menantikan tuan punya gerai memulangkan wang baki untuk Megat Zafril. Setelah dipulangkan, Megat Zafril ambil bungkusan botol mineral dan bungkusan asam kecut diserahkan kepadaku. Kami melangkah bersama-sama. Tak sampai beberapa langkah, aku teringat bilik air.
            “Abang pergi dulu, Nea nak pergi bilik air,” kataku perlahan.
            “Emm,” balas Megat Zafril. Dia pandang aku kemudian bersama wajah seriusnya. Tanpa menunggu lagi, aku atur langkah  menuju tandas yang terletak di hujung bangunan. Selesai di bilik air, aku terus keluar. Aku sedikit terkejut  bila melihat Megat Zafril menunggu di luar kawasan tandas.
            “Abang nak masuk toilet jugak ke?” soalku.
            “Taklah, abang tunggu Nea,” jawab Megat Zafril.
            “Oh!” Itu saja yang boleh aku cakap. Terharu dengar dia cakap begitu? Oh tidak. Sikit pun aku tak rasa apa-apa. Aku terus berjalan menuju tempat emak dan Hajah Asmah duduk. Ayah dan Haji Megat Bakri juga sudah ada sekali. Keempat mereka serentak pandang aku dan Megat Zafril.
            “Ke mana?” soal Hajah Asmah.
            “Beli air,” jawab Megat Zafril.
            “Nea pergi toilet.” Aku pula jawab. Tak nak timbul tanda tanya buat mereka semua. Mana tahu fikir kami pergi berdua-duan walaupun hakikatnya memang begitu tadi. Tapi bukan dirancang. Secara tidak langsung saja.
            Nampak masing-masing buat muka kecewa selepas mendengar penjelasan kami. Dan aku tahu apa yang membuatkan mereka berempat rasa kecewa. Tidak seperti yang mereka harapkan. Megat Zafril serahkan sorang sebotol air mineral selepas itu. Terakhir untukku. “Terima kasih,” kataku.
            “Emm…” jawabnya. Aku kembali melihat ke hadapan. Sudah menanti sebuah feri di luar sana, Mungkin feri itulah yang bakal membawa kami ke Langkawi.
            Aku mencuri pandang melihat Megat Zafril. Itulah lelaki yang dalam rancangan emak mahu dijodohkan denganku. Juga merupakan rancangan emak Megat Zafril, Hajah Asmah. Mulanya aku agak keberatan, tetapi tidak dapat menolak rancangan percutian ini. Sebenarnya aku lebih mahu menjaga hati emak. Soal suka atau tidak dengan pilihan emak kali ini, itu belakang kira. Yang penting aku tidak menyakiti hati emak.
            Megat Zafril. Tanggapan pertamaku tentang lelaki ini, dia serius orangnya. Wajahnya nampak sedikit bengis tapi tenang. Mungkin disebabkan tugasnya sebagai pengurus besar di salah sebuah syarikat pengangkutan memaksa dia perlu memiliki wajah begitu, agar nampak gerun di mata pekerja lain. Tinggi orangnya. Penampilan sangat biasa. Jeans, t shirt jenama polo dan bertopi. Cukup ringkas. Tugas aku sekarang ialah, mencari kekurangan yang ada pada dirinya agar nanti aku boleh memberi alasan yang cukup baik bagi menolak rancangan emak. Sungguh aku belum bersedia untuk jadi isteri orang. Tambahan luka hati masih belum pulih sepenuhnya.
            Tiba-tiba Megat Zafril pandang aku dan cepat-cepat aku pandang tempat lain. Dadaku berombak kencang. Entah kenapa boleh rasa begitu. Pelik sungguh. Kenapa aku rasa cemas. Mujur ketika itu kedengaran pengumuman yang meminta pemegang tiket feri untuk perjalanan pada pukul 12.00 tengahari agar bersedia di jeti. Masing-masing sudah bergerak menuju pintu keluar.
            Aku bawa beg pakaianku dan bergerak menuju pintu. Waktu itu penumpang lain sudah berpusu-pusu menuju pintu utama. Mak, ayah, Haji Megat Bakri dan Hajah Asmah sudah terlebih dahulu bergerak. Aku dan Megat Zafril tertinggal sedikit di belakang.
            “Abang bawakan beg Nea.” Megat Zafril tawar diri dan aku rasa sangat senang dengan tawarannya memandangkan keadaan yang sesak itu susah untuk aku mengheret beg pakaianku.
            “Terima kasih,” ucapku. Megat Zafril tak cakap apa-apa. Terus bergerak perlahan sehinggalah kami sampai ke feri. Waktu aku sampai, mak dan Hajah Asmah sudah sedia duduk  di tempat masing-masing.
            “Nea, Megat Zafril duduk belakang ya,” kata Haji Megat Bakri kepada kami berdua. Memandangkan tempat duduk sebaris hanya ada 4 kerusi jadinya kami berdua terpaksa duduk kerusi belakang yang dua kerusinya sudah di duduki orang.
            Megat Zafril masuk terlebih dahulu memandangkan kerusi bersebelahannya diduduki seorang lelaki. Kemudian aku duduk bersebelahan Megat Zafril. Kaum ibu bapa di hadapan kami nampaknya sudah tidak peduli dengan kami berdua di belakang. Masing-masing rancak berbual sedang di layar skrin TV di hadapan sedang menunjukkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan. Kalau berlaku apa-apa nanti siapa susah bila masing-masing tidak peduli.
            Selepas itu feri bergerak perlahan meninggalkan jeti Kuala Kedah. Kebosanan mula melanda. Tak tahu nak buat apa. Lap top pula ada dalam beg. Sudahnya aku cuba pejam mata. Tak sempat terlelap, telefon berbunyi. Cepat aku keluarkan dari dalam beg tangan. Hmm, Linda di talian.
            “Assalamualaikum.” Aku beri salam. Sambil tu jeling Megat Zafril yang sedang perhatikan skrin TV.
            “Waalaikumusalam. Kau kat mana ni?” soal Linda.
            “Dalam feri,” jawabku.  
            “Dah jumpa?”
            “Dah.”
            “Siapa nama dia?”
            “Megat Zafril,” Aku cakap dan terus Megat Zafril pandang Aku. Mungkin ingat Aku panggil dia.
            “Sedapnya nama.”
            “Emm, memang sedap nama dia.” Aku puji dan Megat Zafril seperti buat buat tak dengar.
            “Orangnya macam mana?”
            “Hmm… segak, kacak, tinggi.” Masa itulah Aku nampak bibir Megat Zafril bergerak sikit. Dia senyum? Ah! Cantiknya.
            “Betul ni?” Linda sepertinya tidak percaya.
            “Betul, dia ada di sebelah Aku. Nak Aku buat video call?”
            “Okey, okey, Aku percaya,”
            “Ada jugaklah macam pelakon yang kau gila habis tu.” kataku lagi sambil tergelak dan Megat Zafril geleng sambil senyum lagi.
            “Arrrgh…!” Linda menjerit dan sah dia melompat-lompat. Lawak betul minah sorang ni.
            “Err… Dia baik tak?”
            “Emm, baik. Tak sombong.” Wajah Megat Zafril aku tatap lagi. Kali ini dia seperti tidak menunjukkan apa-apa riaksi. Selamba habis.
            “Jadi kau setuju dengan pilihan mak kau kali ni.”
            Susah aku nak jawab soalan Linda. Bimbang akan mengecilkan hati Megat Zafril. “Nanti balik aku ceritalah.” Sudahnya aku jawab begitu. Aku pandang lagi wajah Megat Zafril. Tidak beriak juga.
            “Okey,  okey. Jangan lupa beli coklat banyak-banyak.”
            “Okey, no hal.” Jawabku.
            Suara Linda hilang selepas itu dan aku kembali bosan. Megat Zafril nampaknya suka dengan cerita yang ditayangkan tapi sedikit pun tidak berjaya menarik minatku untuk menonton. Aku kembali melayan perasaan.
            “Orang sebelah ni bercium pulak.” Tiba-tiba Megat Zafril bisik perlahan dan aku mengintai. Tersirap darahku melihat adegan yang tidak sepatutnya, tetapi bila melihat ada kesan inai di jari lelaki itu, Aku tahulah pasangan yang baru kahwin.
            “Pengantin baru,” bisikku perlahan.
            “Agak-agaklah nak buat kerja,” balas Megat Zafril.
            Aku sudah tergelak. Lawak pulak si Megat Zafril ni. Terus Aku tampar lengannya. “Busy body!” kataku sambil pandang wajah Megat Zafril.
            “Tak adalah, tak hormat orang langsung. Kalau ya pun sabar-sabarlah.” Megat Zafril nampaknya kurang senang tapi apa boleh buat.   
            Aku terus tidak peduli dan Megat Zafril mungkin sambung rasa kurang senangnya.