MASA untuk berpisah. 3 hari 2 malam kami di Langkawi. Tanpa
aku sedar banyak kenangan manis yang tercipta terutama antara aku dan Megat Zafril. Walaupun
berat untuk aku mengaku itulah kenangan manis yang terindah, namun hakikatnya
aku tidak boleh menafikan kebenaran. Bersama Megat Zafril dan mencipta
jejak-jejak manis adalah sesuatu di luar kotak pemikiranku. Sangkaku ianya
bagai mimpi buruk tetapi yang muncul adalah sesuatu yang penuh dengan warna
warni. Rasanya misi emak dan Hajah Asmah menampakkan sedikit kejayaan. Aku dan Megat
Zafril semakin mesra. Sehingga tiba di Jeti Kuah, kami masih bersama. Berbual
dan bercerita tentang apa saja. Sungguh ajaib rupanya hubungan manusia ini.
“Nea suka
dengan percutian ni?” soal Megat Zafril perlahan ketika kami sama-sama
menantikan feri tiba untuk membawa kami semula ke Kuala Kedah. Ketika itu
keadaan jeti masih sesak dengan penumpang lain yang sama-sama menantikan feri. Riuh
rendah seperti tidak terasa kerana aku seakan sudah tercampak ke daerah yang
paling tenang yang sebelum ini aku tidak tahu akan ujudnya daerah tenang itu.
“Hmm,
gembira sebab dapat kenal abang,” balasku. Kami berdua memilih untuk berdiri di
dinding kaca yang menampak sebahagian laut. Ingin mengasingkan diri dari
pandangan kedua ibu bapa kami . Yang
jelasnya aku tidak mahu menampakkan mesra di mata mereka. Orang kata terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata, inilah akibatnya. Kenapalah hari tu aku
jadi terlalu sombong. Sombong untuk menerima Megat Zafril seadanya dan langsung
tidak berlapik kata pada emak. Apakah ini balasan dari Tuhan kerana
keterlanjuran bicaraku? Nampaknya aku sudah dapat cash terus.
“Abang pun
gembira dapat kenal Nea.”
Aku
betulkan topi Megat Zafril yang agak menutup mata. Tak dapat melihat matanya.
Selain senyuman, aku suka melihat mata Megat Zafril. Cantik dan tedup. Megat
Zafril senyum. Ah…Susah hati aku jadinya.
“Kita
kawan,” kata Megat Zafril lagi.
“Emm,
kawan.” Aku angguk sambil pandang anak matanya yang nampak ikhlas. Redup dan
tenang seperti menggambarkan hatinya yang juga tenang dan damai. Selama ini,
aku belum pernah bertemu seorang lelaki seperti Megat Zafril. Rata-rata lelaki
yang aku temui, belum ada membuatkan aku rasa selesa dan selamat termasuklah
lelaki seorang itu. Lelaki yang telah membuatkan hatiku luka dan parah. Rasa
sakitnya masih terasa sehingga membutakan mata hatiku untuk menerima lelaki
lain. Namun kali ini seperti, mata hati mula terbuka untuk melihat semula
lelaki yang ada di hadapan mataku ketika
ini.
“Tapi
boleh tak kawan jadi kekasih?” Waktu bertanyakan soalan itu, Megat Zafril
pandang tempat lain. Mungkin soalan itu jenis soalan berat. Dia mungkin tidak
mahu melihat wajahku kerana tidak mahu melihat jawapan kecewa yang dipamerkan
pada wajahku.
Aku tarik
nafas panjang. Mencari jawapan yang boleh membuatkan Megat Zafril rasa selesa
dan tidak terasa apa-apa. Dia tidak bersalah dan tidak perlu terhukum dengan
keadaan yang menimpa aku sekarang.
“Selalunya
memang begitu. Dari kawan jadi kekasih. Yang susahnya dari kekasih menjadi
kawan.” Aku tarik nafas lagi. Hakikat memang begitu. Jarang dari kekasih
menjadi kawan. Sebahagiannya akan menjadi musuh selama-lamanya. Seperti tiada
langsung kebaikkan semasa bersama.
“Harap
kita tidak akan menjadi musuh selepas ni. Kalau ada yang tidak puas hati
berterus terang saja. Abang tidak mahu Nea rasa tertekan ketika berkawan dengan
abang. Abang mengaku, dalam berkawan abang agak kolot. Banyak benda yang abang
tak tahu.” Sekilas Megat Zafril jeling aku semula. Aku balas dengan senyuman
nipis. Hati berkocak perlahan. Setiap kali Megat Zafril menjeling, seperti ada
sesuatu yang tidak kena.
Aku senyum
lagi. Anak emak memang begitu. Semuanya terbatas. Pergaulan sudah tentu terhad.
Sebab itu anak emak semuanya serba tidak tahu. Semua emak yang uruskan. Nea,
kalau awak pilih dia, nanti semua awak jugak yang kena uruskan. Nampak pada
zahir lelaki seorang ini tidak tahu apa-apa. Rasanya tali kasut pun awak yang
kena ikat, Nea. Sanggup ke tanggung risiko macam tu seumur hidup? Satu lagi,
kalau pilih dia, awak tetap jadi nombor 2 untuk selamanya. Emak dia tetap
nombor 1 sampai bila-bila. Ah! Kenapa jauh benar fikiran melayang?
“Taklah.
Abang biasa saja. Okey aje. Apa yang kolotnya?” soalku bersahaja.
“Janganlah
nak sedapkan hati abang. Abang tahu kekurangan abang. Tak pandai nak berkawan.”
Megat Zafril mengeluh selepas itu.
“Tak
adalah. Nea suka berkawan dengan abang. Nea ikhlas cakap ni. Tak ada kes nak
sedapkan hati abang. Abang pun tahu bukan, Nea seorang yang suka berterus
terang. Kalau Nea tak suka, Nea cakap tak suka. Nea tak suka simpan-simpan.
Sebab itu kalau abang mahu terus jadi kawan Nea, abang kena tahan. Nea suka
cakap lepas. Kalau abang nak cakap Nea kurang ajar pun Nea tak kisah.” Aku
berterus terang dengan sikap sebenarku.
“Itu yang
abang suka. Tak suka dengan orang yang hipokrit ni.”
Aku senyum
lagi. Sebenarnya aku lebih hipokrit sekarang ini. Banyak yang aku sembunyikan,
tetapi aku sekadar mahu menjaga hati saja. Mahu semua berada dalam keadaan yang
menyenangkan.
“Jangan
jadi hipokrit semata-mata mahu menjaga hati orang,” kata Megat Zafril lagi. Dan
aku mula rasa terpanggang. Senyumanku jadi tawar. Perasaan juga. Ya, kenapa
harus jadi hipokrit semata-mata mahu menjaga hati orang lain? Dan kenapa harus
jadi hipokrit semata-mata mahu rahsiakan perasaan sendiri? Kalau hati kata
sudah suka, kenapa tidak boleh berterus terang saja? Kenapa masih nak menipu?
Ah! Persoalannya
sekarang ini, aku sudah terlanjur bercakap tidak serasi. Mana boleh kejap ini
nak luahkan isi hati.
BARU beberapa jam berpisah, aku sudah mula terkenangkan
Megat Zafril. Terasa seperti dia ada di sini sebagaimana dia menemaniku
sepanjang berada di Langkawi. Aneh tentang lelaki seorang ini. Dia sangat
biasa. Terlalu biasa. Penampilan sederhana tetapi di mataku nampak seperti
sempuna.
Apa sudah
jadi Nea? Kenapa boleh bawa perasaan begitu sampai ke rumah? Mulut mati-mati
cakap tidak serasi tetapi kenapa sangat berkesan di hati? Mustahil kalau Megat
Zafril guna ubat pengasih. Tetapi perasaan rasa sangat lain. Terkenang-kenang.
Tutur bicaranya yang sopan dan tersusun. Senyumannya yang manis dan sentiasa
mahu melihatnya. Jangan jadi hipokrit Nea. Ingat Megat Zafril kata jangan jadi
hipokrit. Dia tidak suka orang begitu. Dia silap. Sebenarnya dalam soal
perasaan, kadang kala perlu jadi hipokrit.
Aku lihat
semula gambar-gambar yang tersimpan di dalam telefon bimbitku. 90 peratus
adalah gambar Megat Zafril. Senang pula wajah-wajahnya diambil. Senyum, jeling,
aksi nakal, semuanya seperti mengundang rasa rindukku. Rindu? Gila awak Nea.
Belum apa-apa sudah sebut rindu.
Ah terasa
mahu bercinta semula.
Tersentak
bila telefon berbunyi. Nama Megat Zafril sudah terpamer. Cepat aku jawab.
“Assalamualaikum.”
Suara Megat Zafril sama seperti sebelumnya. Tenang dan mendatar.
“Waalaikumusalam.”
Aku jawab bersama senyuman. Suka.
“Nea buat
apa tu?”
Nak jawab
apa? Nak beritahu aku sedang melihat gambar-gambar dia di Langkawi? Kalau aku
jawab begitu soalan begini mesti menyusul. Kenapa tengok gambar abang? Jadi aku
bakal jadi hipokrit sekali lagi.
“Nea ingat
nak tidur aje. Badan rasa letih sangat ni. Esok mula kerja. Ikutkan hati rasa
nak sambung cuti saja. Malas betul nak kerja.”
“Hmm,
kalau malas nak kerja kahwinlah cepat. Duduk rumah saja. Habis cerita Uruskan
rumah tangga.”
Hmm, bunyi
macam buat tawaran, tawaran nak jadi bibik dia. “Hmm, bilalah agaknya Nea ni
boleh jadi mem macam tu.” Aku jawab sambil tarik nafas.
“Cakap
aje, bila-bila pun boleh…”
Aku
buat-buat gelak walaupun aku tidak tahu kenapa aku boleh gelak begitu. Rasa gedik semacam, tapi dengan cara itulah aku
boleh mengawal keadaan. Boleh menyembunyikan segala rasa.
“Emm, mak
abang buat apa sekarang ni? Nea tengok banyak beli barang tadi.” Aku larikan
perhatian Megat Zafril dari berbicara soal yang aku tidak berapa boleh tumpang
beri pendapat. Tidak mahu berbicara soal-soal yang agak peribadi kerana aku
tidak mahu terus-terusan bergelumang dengan hipokrit.
“Tengah
tengok pinggan-pinggan yang mak beli tadi. Rumah ni dah penuh dengan pinggan
mangkuk. Pelik betul. Memang orang perempuan suka kumpul pinggan?”
“Tak
tahulah. Mak Nea pun sama. Suka kumpul pinggan mangkuk.”
“Nea tak
suka?”
“Belum
lagi ada minat macam tu sebab tak ada rumah sendiri lagi. Nanti kalau sudah ada
rumah sendiri mungkin juga kut,” jawabku jujur. Sekarang ini pinggan mangkuk
belum ada dalam senarai barang yang mahu dibeli. “Susah-sudah nanti angkut
pinggan mangkuk mak aje. Habis cerita.” Gelakku bermula lagi. Seperti lucu
benar tapi tak lawak pun.
“Kan,
habis cerita. Rumah mak abang pun banyak. Abang pun akan angkut sama nanti.”
Nak
sambung gelak tak jadi sebab kata-kata Megat Zafril mematikan segera niat
tersebut. Abang pun akan angkut sama nanti? Serius, memang aku tak faham apa
maksud kata-kata Megat Zafril itu. Seolah-olah pinggan yang mahu diangkut itu
bakal diletakkan di dalam rumah yang sama dengan rumah yang mahu aku letak
pinggan mangkuk juga. Apa cerita sebenarnya ni?
“Senang
betul kerja kitakan? Tukang angkut saja.” Megat Zafril menokok seperti
kata-katanya sebentar tadi tiada mempunyai apa-apa makna. Atau mungkinkah aku sudah
tersalah dengar? Atau mungkinkah juga aku sudah tersalah tafsir maksud sebenar
kata-kata Megat Zafril itu?
“Tu le…”
Aku jawab ringkas.
“Abang
gurau aje. Kita pun boleh kumpul harta sendiri. Buat apa nak kacau harta orang
tua.”
“Betul tu.”
Kenapalah bercakap topik bosan ni? Aku tak nak bercerita pasal pinggan mangkuk,
harta pusaka bagai. Aku mahu cerita pasal lain. Cerita yang boleh buat
perasaanku jadi berbunga-bunga. Aku mahu lupa diri sekejap.
Diam
seketika. Aku cuba mencari ayat-ayat yang membolehkan kami bercakap lebih lama
lagi. Dengar suara dia sudah cukup.
“Emm,
harap bila-bila kita boleh bercuti macam ni lagi.” Ujarku perlahan
“Insya
Allah, apa kata lepas ni kita pergi Sabah pulak. Kita panjat Gunung Kinabalu.”
“Abang,
agak-agaklah. Tak kan nak ajak mak-mak kita panjat Gunung Kinabalu.”
“Siapa
cakap abang nak ajak mak-mak kita pergi sama? Abang nak bawa Nea sorang saja.
Merepek Nea ni nak panjat Gunung Kinabalu dengan mak-mak kita.”
Aku gelak.
Tak terbayangkan kalau mak dan Hajah Asmah ikut sama panjat Gunung Kinabalu. “Nea
ingat nak buat rombongan Cik Kiah lagi.” Aku sambung gelak.
“Lepas ni
kita pergi berdua saja. Tak payah nak ajak orang tua.”
“Nea tak
ada masalah. Cuma nak berjawab dengan mereka tu aje yang jadi masalahnya. Kalau
nak ikut abang, Nea tak kisah. Sebab Nea tahu abang lelaki yang boleh
dipercayai. Cuma tulah, tak kan nak cakap kita keluar berdua. Karang tak
pasal-pasal kita diijab kabulkan.” Aku gelak lagi.
“Apa
salahnya kalau kita diijab kabulkan. Abang tak kisah.”
Mendatar saja
suara Megat Zafril. Bagai ada yang tidak kena. Dia sudah mula jatuh cintakah?
Pertemuan singkat ini sudah menerbitkan bunga-bunga cinta di hati lelaki Megat
Zafril? Dan aku perlu beritahu yang aku ada rasa sedikit suka kepadanya? Jangan
Nea. Belum masanya. Mana boleh cakap apa-apa lagi.
“Kalau ada
jodoh kita, tentu tak ke mana bang. Sementara tu kita kawan dulu.” Aku
menyedapkan hati Megat Zafril. Mahu dia menaruh harapan juga.
“Ya betul
tu. Kita perlukan masa untuk sesuaikan diri. Kenal hati budi masing-masing dan
juga kekurangan serta kelemahan kita.”
“Banyak
masa lagi bang, insya Allah.”
“Emm,
betul. Okeylah Nea. Abang pun nak masuk tidur ni. Esok nak mulakan kerja.”
“Abang,
sekejap.”
“Ya…”
“Tempat
kerja abang tu ramai pekerja perempuan tak?”
“Ada juga,
tapi bahagian ofis pengurusan sajalah. Yang ramai pekerja lelaki saja, maklum
syarikat penghantaraan. Nea jangan bimbanglah. Ofis abang ni semua pekerja
lelaki.” Megat Zafril gelak perlahan.
Ah! Kenapa
aku boleh tanya soalan macam tu? Tak logiknya soalan. Nanti dia ingat apa
pulak. Alahai…
“Hmm, okey
abang. Nanti kita sambung lagi. Selamat malam. Assalamualaikum.” Cepat aku bagi
salam. Tak mahu salah cakap lagi. Nanti lagi panjang cerita. Cukuplah tersasul
sekali.
“Okey Nea,
selamat malam. Mimpi indah tau. Waalaikumusalam.”
Aku tutup
telefon bimbit. Fikiran juga terasa mati. Tak boleh fikir apa-apa. Bimbang
betul kalau Megat Zafril dapat meneka maksud yang tersurat. Maka betullah,
sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.